
McDonald’s Bersama Komuniti Sandakan Pulih Pasca Kebakaran Kampung Bahagia
Komuniti di Sandakan kini memulakan usaha pemulihan susulan kebakaran besar yang melanda perkampungan atas air Kampung Bahagia pada Ahad lalu, memusnahkan kira-kira 1,000 buah rumah dan menyebabkan ratusan keluarga memerlukan bantuan segera.
Mangsa yang terjejas kini ditempatkan di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sementara pihak berkuasa menjalankan penilaian lanjut terhadap tahap kerosakan.
Sejurus menerima maklumat mengenai kejadian tersebut, pasukan McDonald’s Malaysia di Sandakan bertindak pantas menyediakan dan mengagihkan hampir 2,000 hidangan makanan dan minuman kepada mangsa, anggota barisan hadapan serta sukarelawan di lokasi kejadian.

Bantuan tambahan kini sedang dilaksanakan dengan pengagihan 4,000 lagi hidangan di lima PPS sehingga hujung minggu ini. Langkah ini bagi memastikan sokongan berterusan kepada mereka yang terjejas.
Secara keseluruhan, McDonald’s menyasarkan untuk menyediakan lebih 6,000 hidangan kepada komuniti yang terkesan bagi meringankan beban mereka dalam tempoh mencabar ini.
“Dalam situasi seperti ini, yang paling penting adalah semangat kebersamaan agar tiada sesiapa yang perlu menghadapi dugaan ini bersendirian. Respons yang kita lihat di Sandakan mencerminkan tanggungjawab bersama, dan kami berharap usaha ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang terjejas,” kata Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia.

Dalam masa yang sama, usaha bantuan secara menyeluruh terus digerakkan di Sandakan. Pihak berkuasa tempatan, sukarelawan dan komuniti setempat berganding bahu menyediakan bantuan segera, termasuk memastikan akses kepada makanan, tempat perlindungan dan keperluan asas bagi mangsa. Agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, RELA serta sukarelawan turut memainkan peranan penting dalam menyelaras usaha bantuan di lapangan.
Tindakan pantas McDonald’s dalam situasi ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyantuni komuniti, selari dengan peranannya sebagai sebahagian daripada masyarakat setempat. Menerusi Program Komuniti @ McDonald’s, syarikat melaksanakan lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan setiap tahun di seluruh negara. Ini termasuk sumbangan makanan ketika bencana, agihan moreh pada bulan Ramadan, serta usaha lain seperti pembayaran zakat dan Program Santun Pelajar yang menyasarkan sehingga 1 juta hidangan kepada pelajar memerlukan menjelang akhir tahun ini.
“Di McDonald’s Malaysia, tujuan kami adalah untuk menyantuni dan menyokong komuniti setempat. Sama ada dalam waktu senang mahupun mencabar, kami komited untuk terus bersama masyarakat dan membantu dengan cara yang bermakna,” tambah Dato’ Azmir.



.jpg)


