MCMC ambil tindakan undang-undang terhadap pemilik Facebook, Meta 

23 Jun 2023 • 10:24 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MCMC ambil tindakan undang-undang terhadap pemilik Facebook, Meta

zulfadli

23/06/2023 - 10:24

KUALA LUMPUR 23 Jun - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak teragak-agak mengambil undang-undang terhadap pemilik Facebook, Meta ekoran keengganan memberi kerjasama untuk menurunkan kandungan memudaratkan daripada platform media sosial itu.

Jabatan Komunikasi Korporat MCMC memaklumkan, tindakan itu sebagai langkah untuk memastikan pengguna dilindungi dan mempunyai persekitaran digital yang selamat.

Katanya, tindakan berkenaan juga adalah perlu dalam menyemaikan kebertanggungjawaban untuk keselamatan siber selain memperkasakan perlindungan pengguna terhadap kandungan memudaratkan, termasuk juga aktiviti penipuan.

Jelasnya, platform Facebook sejak akhir-akhir ini telah dibelenggu dengan jumlah kandungan memudaratkan yang signifikan membabitkan elemen kaum, institusi diraja, agama (3R), penyamaran, judi dalam talian serta iklan-iklan penipuan.

"Lantaran itu, pihak MCMC telah menghubungi pihak Meta untuk menurunkan kandungan yang dimaksudkan daripada platformnya.

"Namun, di sebalik permohonan berulang kali daripada pihak MCMC, Meta gagal mengambil tindakan secukupnya dalam menangani isu berkaitan kandungan memudaratkan pada platform mereka dan tidak bekerjasama sepenuhnya dalam menurunkan kandungan tersebut.

"Maklum balas pihak Meta yang lembap dan kurang memuaskan, tidak setimpal dengan keseriusan perkara berkenaan dan ini telah mengundang kebimbangan dan penelitian awam," katanya dalam kenyataan media di sini.

Tambah kenyataan itu, MCMC tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan menyalahguna platform dalam talian dan telekomunikasi, rangkaian atau kemudahan dalam talian secara berterusan, untuk aktiviti siber berniat jahat, 'phishing', ataupun sebarang kandungan yang mengganggu gugat kestabilan kaum, keharmonian sosial serta penghinaan terhadap institusi diraja. - DagangNews.com