MCMC buka 36 kertas siasatan berita palsu krisis tenaga global

LocalPolitics
8 Apr 2026 • 10:29 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuka 36 kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu di media sosial dan platform digital berkaitan krisis tenaga global.

Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan seramai 22 individu dari pelbagai lokasi di seluruh negara telah dipanggil untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan.

“Sebanyak enam kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian dan tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Menurut suruhanjaya itu, pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai dengan maklumat palsu. “Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada,” tegas MCMC.

MCMC turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa bertanggungjawab menggunakan media sosial dan digital, serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi untuk memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam. - 8 April, 2026

The post MCMC buka 36 kertas siasatan berita palsu krisis tenaga global appeared first on Scoop.