KUALA SELANGOR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) digesa menggunakan budi bicara dan tidak menindas rakyat berpendapatan rendah susulan kes seorang suri rumah didakwa membuat kandungan palsu berkaitan kenaikan harga bahan api.
Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Noh Omar berkata, tindakan terhadap wanita terbabit yang tinggal di kawasan kampung dan berdepan kesusahan hidup adalah tidak wajar memandangkan kandungan dimuat naik itu tidak memberi kesan besar kepada kerajaan serta negara.
"Wanita ini bukan pempengaruh media sosial dan individu popular, malah yang melihat kandungan terbabit hanyalah beberapa orang, selain telah memadam hantaran berkenaan.
"Kenapa hendak jadikan rakyat biasa sebagai mangsa? Sepatutnya guna budi bicara, beri amaran sudah mencukupi dan bukan terus dakwa,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi wanita itu di kediamannya di Kampung Sawah Sempadan, Tanjong Karang di sini pada Jumaat.
Terdahulu, Siti Nor Sayikilla Mohd Azhar, 31, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu melalui akaun Threads miliknya pada 31 Mac lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya serta denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Jun depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.
Mengulas lanjut, Noh berkata, tindakan MCMC itu dilihat tidak seimbang berbanding kes lain yang lebih serius seperti hantaran berunsur penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tular sebelum ini.
"Perkara ini jelas menyentuh institusi diraja dan sensitiviti rakyat, namun sehingga kini siasatan dilihat mengambil masa lama.
"Walaupun ada dakwaan akaun terbabit palsu, ia tidak sepatutnya menjadi alasan untuk tidak menjalankan siasatan secara menyeluruh dan segera.
"Sepatutnya kes seperti itu diberi keutamaan kerana melibatkan maruah institusi, berbanding kes kecil yang tidak memberi kesan besar kepada masyarakat," tambah beliau.
Noh turut mempersoalkan tindakan membawa kes itu ke mahkamah walaupun sebelum ini difahamkan hanya amaran akan diberikan.
Katanya, wanita terbabit yang juga ibu kepada seorang anak orang kurang upaya (OKU) berdepan tekanan kewangan dan kesukaran jika dikenakan denda tinggi.
"Kalau wanita ini tak mampu bayar, siapa hendak jaga anak OKU ini? Perkara ini kena fikir,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Noh memaklumkan, peguam Rafique Rashid Ali akan membantu wanita berkenaanmenghadapi perbicaraan yang ditetapkan di Mahkamah Sesyen.
Noh turut menyuarakan kebimbangan tindakan itu mungkin memberi gambaran seolah-olah wujud pendekatan untuk menakut-nakutkan pengguna media sosial.
"Saya harap undang-undang ini digunakan secara adil dengan mengambil kira kesalahan besar atau kecil serta latar belakang individu," tambah beliau.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, berdasarkan laporan media sebelum ini, kes itu dikategorikan sebagai yang pertama melibatkan isu harga minyak dibawa ke mahkamah.
"Kita kena lihat secara menyeluruh terutama melibatkan tindakan MCMC serta kesannya kepada rakyat,” katanya.
Menurutnya, walaupun undang-undang terpakai kepada semua, pertimbangan wajar perlu diberikan berdasarkan keadaan kes.
"Saya sebagai peguam faham undang-undang ini ‘equal for all’ (terpakai sama rata kepada semua), tetapi dalam kes ini, individu terbabit hanyalah seorang suri rumah.
"Kalau kita lihat akaun Threads miliknya,kira-kira 14 tontonan sahaja dan tiada perkongsian meluas," ujar beliau.
Nurul Syazwani memberitahu, keadaan itu jelas menunjukkan kandungan berkenaan tidak memberi kesan besar atau mengganggu masyarakat.
"Kita tak nampak di mana impaknya yang boleh menyusahkan rakyat, tambahan pula, ini melibatkan kawasan kampung, bukan sesuatu yang tular secara meluas,” tambah beliau.


