MCMC gesa pembekal perkhidmatan internet patuhi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

7 Jul 2023 • 10:24 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MCMC gesa pembekal perkhidmatan internet patuhi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

zulfadli

07/07/2023 - 10:24

KUALA LUMPUR 7 Julai - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius berhubung penyalahgunaan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi yang kian meningkat.

MCMC berkata, untuk menangani isu tersebut, pihaknya mengambil tindakan dan menekankan kepada Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP) mengenai kewajipan dan tugas mereka di bawah Seksyen 263 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

"Pertama, Seksyen 263 AKM 1998 menegaskan ISP untuk memberi komitmen sepenuhnya untuk menghalang perkhidmatan yang digunakan oleh mereka untuk sebarang kesalahan, dan untuk mencegah kelakuan atau percubaan melakukan kesalahan di bawah undang-undang Malaysia, dan memerlukan komitmen mereka untuk memperuntukkan sumber yang mencukupi dan kepakaran untuk segera memastikan keperluan seksyen ini dipenuhi.

"Kedua, memenuhi sebarang permintaan atau arahan daripada MCMC dalam menghalang kelakuan atau percubaan melakukan sesuatu kesalahan dengan mana-mana undang-undang bertulis Malaysia atau sebaliknya dalam menguatkuasakan undang-undang Malaysia, termasuk tetapi tidak terhad kepada, perlindungan hasil pendapatan awam dan pemeliharaan keselamatan negara," katanya dalam kenyataan media di sini.

MCMC berkata, bagi tujuan ini, ISP turut diminta untuk menyediakan pelan tindakan serta laporan bagi langkah-langkah yang telah diambil untuk menangani isu-isu kandungan dalam talian yang menyalahi undang-undang negara.

Katanya, usaha ini memastikan keselamatan maklumat dan untuk mengekalkan integriti rangkaian.

"Aspek yang ditekankan adalah penyebaran bahan penderaan seksual kanak-kanak, perjudian dalam talian, kandungan yang menggugat kestabilan kaum dan kepentingan agama serta penghinaan terhadap institusi diraja, penipuan dan phishing, penjualan dan promosi dadah dan bahan terlarang, penyamaran, penyebaran maklumat palsu serta berita, dan penjualan produk kesihatan tanpa lesen," katanya.

Menurut Seksyen 244 AKM 1998, bukan sahaja organisasi itu sendiri tetapi pengarah juga, ketua pegawai atau individu yang mentadbirsesebuah syarikat mungkin dihadapi pertuduhan jika mereka dengan sengaja melakukan aktiviti jenayah selepas dimaklumkan.

Katanya, peruntukan ini bertujuan untuk mengelakkan penyalahgunaan platform internet untuk tujuan yang menyalahi undang-undang.

"ISP dijangka akan melakukan pelbagai usaha dalam menangani jenayah di platform mereka dan akan segera menurunkan sebarang jenayah dalam talian, ini berikutan peningkatan jumlah aduan awam berkaitan dengan penyalahgunaan kemudahan rangkaian dan kesalahan lain-lain," katanya. - DagangNews.com