MCMC NEXUS dilancar, perkukuh ekosistem digital negara

LocalTechnology
31 Mar 2026 • 3:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Nie Ching (tengah) bersama Ahli Suruhanjaya MCMC, Derek John Fernandez (kanan) dan Jeneral (B) Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin pada Majlis Pelancaran MCMC NEXUS di Auditorium MCMC Tower 1, Cyberjaya pada Selasa.

CYBERJAYA - Aplikasi MCMC NEXUS dilancarkan pada Selasa sebagai langkah penting dalam memperkukuh ekosistem digital negara, selain meningkatkan kualiti pemantauan rangkaian internet secara masa nyata.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, inisiatif oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu bukan sahaja memperluas keupayaan pemantauan liputan, malah membolehkan pengguna sendiri menilai prestasi rangkaian di kawasan masing-masing.

Menurutnya, akses kepada internet berkualiti kini bukan lagi satu kemewahan, sebaliknya menjadi keperluan asas dalam kehidupan harian merangkumi pembelajaran, perniagaan, urusan kerajaan dan komunikasi.

“Setakat 31 Januari 2026, sebanyak 9.82 juta premis telah mempunyai akses jalur lebar gentian optik, melepasi sasaran asal 9 juta premis.

“Kelajuan median jalur lebar mudah alih negara pula mencecah 147.24 Mbps, mengatasi sasaran 100 Mbps, manakala liputan Internet di kawasan berpenduduk mencapai 99.71 peratus, tidak termasuk 5G,” ujarnya pada Majlis Pelancaran MCMC NEXUS di Auditorium MCMC Tower 1, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Nie Ching berkata, liputan rangkaian 5G turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila Digital Nasional Berhad (DNB) mencatatkan 82.4 peratus, manakala U Mobile mencapai 71.9 peratus.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pencapaian itu perlu diukur bukan sahaja dari segi liputan, tetapi juga pengalaman sebenar pengguna.

Sehubungan itu, ujarnya, aplikasi MCMC NEXUS memainkan peranan penting dengan membolehkan pengguna menguji kelajuan internet serta menyumbang data prestasi rangkaian di lokasi masing-masing.

“Sejak diperkenalkan secara berperingkat mulai Februari 2025, aplikasi ini telah mencatatkan 51,415 muat turun dan berjaya mengumpul sebanyak 168 juta titik data kualiti rangkaian di seluruh negara.

“Maklumat ini membantu mengenal pasti kawasan liputan lemah serta isu kualiti perkhidmatan dengan lebih tepat bagi tujuan penambahbaikan,” ujarnya.

Beliau berkata, keberkesanan sistem itu turut terbukti melalui pengoperasian Pusat Pemantauan Rangkaian MCMC NEXUS yang memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan rangkaian ketika acara besar negara sepanjang 2025.

Antara acara berkenaan termasuk Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA 2025), Sidang Kemuncak ASEAN serta sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Pendekatan berasaskan data ini membolehkan penambahbaikan dilaksanakan secara lebih fokus, selain memastikan komitmen penyedia rangkaian dapat dipantau dengan lebih telus,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, MCMC NEXUS bukan sekadar aplikasi, sebaliknya pemacu masa depan digital Malaysia yang menyokong pembangunan bandar pintar serta merangsang pertumbuhan ekonomi dan inovasi.

Ujarnya, platform itu juga memperkasa perniagaan, memperluas akses pendidikan digital serta meningkatkan kualiti hidup rakyat ke arah ekonomi digital yang inklusif dan mampan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama strategik turut dijalin bersama pelbagai rakan industri termasuk RTM, FGV Prodata Systems Sdn Bhd, SPX Express Sdn Bhd, Prasarana Integrated Development Sdn Bhd dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC).

Turut terlibat, ZUS Coffee, Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), Fintech Association of Malaysia, Favoriot Sdn Bhd, Ninja Logistics Sdn. Bhd., Consumer Forum of Malaysia (CFM), Malaysian Technical Standards Forum Bhd. (MTSFB), Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Beliau berkata, kolaborasi itu merangkumi pelbagai sektor seperti telekomunikasi, penyiaran, Internet Kebendaan (IoT), logistik dan sektor komersial bagi memperkukuh ekosistem digital negara.

Sementara itu, Nie Ching berkata, aspek keselamatan dan perlindungan data pengguna kekal menjadi keutamaan dengan aplikasi MCMC NEXUS telah menjalani pengujian bebas serta memperoleh pensijilan rasmi pada 30 Mac 2026 di bawah piawaian ISO/IEC 17025.

Ujarnya, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) turut mengesahkan aplikasi berkenaan tidak mengumpul sebarang maklumat pengenalan peribadi (PII), sebaliknya hanya merekodkan data prestasi rangkaian yang dianonimkan sepenuhnya serta mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).

Beliau berharap aplikasi itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha meningkatkan kualiti rangkaian negara.