MCMC peroleh injunksi halang kandungan mudarat di Telegram, tutup Edisi Siasat dan Edisi Khas

LocalTechnology
31 Oct 2025 • 2:03 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Injunksi Erinford difailkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung tindakan sivil terhadap platform Telegram, sementara menunggu pendengaran rayuan interlokutori MCMC di Mahkamah Rayuan.

Melalui keputusan tersebut, mahkamah membenarkan Injunksi Erinford bagi melarang penyiaran kandungan yang memudaratkan seperti dalam Pernyataan Tuntutan MCMC, termasuk apa-apa kandungan lain yang mempunyai ciri atau kesan serupa.

"Mahkamah turut memerintahkan penutupan sepenuhnya saluran “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas” serta mana-mana saluran lain yang mempunyai persamaan dari segi kandungan atau modus operandi," kata MCMC dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut MCMC, keputusan ini merupakan langkah penting dalam usaha berterusan memastikan ekosistem digital negara kekal selamat, bertanggungjawab serta selaras dengan kepentingan awam.

Jelas MCMC, Perintah Injunksi Erinford ini bertujuan mengelakkan penyebaran kandungan palsu, mengelirukan, menghasut serta bahan yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi awam negara melalui saluran-saluran di platform tersebut.

"Mahkamah menegaskan bahawa kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi. Keseimbangan keadilan jelas berpihak kepada MCMC memandangkan kemudaratan kepada pihak Telegram adalah minimum berbanding potensi kesan negatif terhadap institusi negara dan ketenteraman awam sekiranya kandungan sedemikian terus disiarkan."

Sehubungan itu, mahkamah turut mengingatkan penyedia platform luar negara seperti Telegram, walaupun mungkin tidak memahami sepenuhnya struktur sosial dan budaya unik Malaysia, hendaklah sentiasa peka serta menghormati konteks perlembagaan dan sosial di negara ini. - 31 Oktober, 2025

The post MCMC peroleh injunksi halang kandungan mudarat di Telegram, tutup Edisi Siasat dan Edisi Khas appeared first on Scoop.