MCMC rakam keterangan dua individu, didakwa persenda lagu Negaraku

LocalPolitics
13 Aug 2025 • 2:43 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakam keterangan dua individu bagi membantu siasatan berhubung penyiaran video di media sosial yang didakwa memaparkan nyanyian dalam bentuk mempersenda dan tidak menghormati lagu kebangsaan ‘Negaraku’.

MCMC dalam kenyataannya berkata, sesi rakaman keterangan dijalankan di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya, semalam.

Turut disita, katanya, ialah seunit telefon bimbit dan sekeping kad SIM bagi tujuan siasatan.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan,’’ katanya.

Menurut MCMC, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mempersenda atau mempelekeh lagu kebangsaan, selaras dengan Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 yang menetapkan kewajipan menghormati lagu tersebut oleh setiap warganegara.

Justeru, orang ramai diingatkan untuk sentiasa menghormati lagu Negaraku sebagai tanda kesetiaan dan cinta kepada tanah air serta mengelak daripada melakukan atau menyebarkan apa-apa perbuatan yang boleh dianggap tidak menghormati lagu kebangsaan. - 13 Ogos, 2025