
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini (25 November) menfailkan dua saman berjumlah RM600 juta terhadap Google LLC.
Kedua-dua saman itu difailkan atas dakwaan kegagalan platform berkenaan menangani kandungan memudaratkan di YouTube.
Ia termasuklah perjudian dalam talian, penipuan serta kenyataan terhadap pemimpin kerajaan.
Saman Pertama Libatkan Perjudian Dalam Talian, Saman Kedua Libatkan Kandungan Papagomo
Saman pertama MCMC terhadap Google LLC melibatkan kandungan berkaitan perjudian dalam talian, scam dan penipuan.
Saman kedua pula melibatkan dakwaan kegagalan syarikat itu memadam video yang telah diterbitkan semula oleh penulis blog Wan Azri Wan Deris atau juga dikenali sebagai Papagomo.
MCMC dalam satu kenyataan menjelaskan pihaknya telah menuntut RM300 juta bagi setiap saman.
Memetik Astro Awani, jumlah itu merangkumi RM100 juta ganti rugi am, RM100 juta ganti rugi teruk dan RM100 juta ganti rugi tauladan.
“Tuntutan ganti rugi ini bertujuan mendapatkan pampasan atas penggunaan sumber dan tenaga kerja yang besar dalam menangani lebih daripada 50,000 kandungan dalam talian yang memudaratkan susulan kegagalan sistemik Google, di samping menyokong usaha mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat.
“Tuntutan ini turut mengambil kira sifat dan kesan pelanggaran yang didakwa, serta keperluan untuk memastikan Google dipertanggungjawabkan dan mencegah ketidakpatuhan yang sama daripada berulang,” kata mereka.
74,703 Laporan Telah Dikemukakan Kepada YouTube, 99.8% Daripadanya Adalah Judi Dalam Talian
Jelas MCMC, sebanyak 74,703 laporan telah dikemukakan kepada YouTube dengan 99.8% daripada jumlah tersebut adalah berkaitan dengan judi dalam talian bagi tempoh 1 Januari sehingga 28 Oktober lalu.
Tambah mereka, daripada jumlah yang dilaporkan, 32,781 telah mendapat maklum balas dan diturunkan daripada platform dalam tempoh satu hari manakala 4,950 belum menerima maklum balas.
“Sebanyak 35 laporan pula mengambil masa lebih daripada 90 hari untuk menerima maklum balas atau tindakan penurunan kandungan, manakala 1,468 laporan mengambil masa lebih 30 hari dari tarikh laporan dikemukakan,” kata mereka.
Jelas MCMC lagi, angka tersebut menunjukkan bahawa skala penyebaran kandungan yang memudaratkan di platform terbabit serta kelewatan mereka dalam menangani kandungan berkenaan.
Google Gagal Ambil Langkah Sewajarnya Terhadap Penerbitan Semula Kandungan Papagomo
Berhubung saman kedua, MCMC mendakwa Google gagal mengambil langkah statutori dan proaktif sewajarnya terhadap penerbitan semula kandungan yang melanggar undang-undang oleh Papagomo di YouTube.
“Kandungan tersebut kini tertakluk pada injunksi interim yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun 2026,” kata mereka.
Penyedia Platform Media Sosial Tertakluk Dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 & Akta Keselamatan Dalam Talian 2025
Pada masa sama, MCMC menegaskan setiap penyedia platform media sosial tertakluk dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 selain perlu mematuhi undang-undang serta syarat lesen.
Malah, penyedia platform turut digesa agar mengambil langkah yang sewajarnya dalam menangani kandungan yang melanggar undang-undang serta memudaratkan di medium masing-masing.
“Kedua-dua saman ini ialah usaha berterusan MCMC untuk melindungi orang awam, khususnya kanak-kanak daripada ancaman dalam talian, di samping menangani penyebaran berterusan kandungan yang telah menjadi subjek tindakan pengawalseliaan dan campur tangan mahkamah,” kata mereka.
Saman tersebut difailkan MCMC menerusi firma guaman Tetuan Sitham & Associate dan diserahkan kepada wakil undang-undang Google LLC iaitu Tetuan Rahmat Lim & Partners.
Baca Artikel Berkaitan: Fahmi Fadzil & MCMC Akan Adakan Perbincangan Dengan Google, Bincang Isu Kandungan Lucah Di YouTube
Baca Artikel Berkaitan: Apple & Google Setuju Jadikan App Stores Dan Play Store Lebih Adil




