MCMC saman Sunway Lagoon, tuntut ganti rugi RM1.82 juta

LocalFood
14 Apr 2026 • 2:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MCMC saman Sunway Lagoon, tuntut ganti rugi RM1.82 juta Image from: MCMC saman Sunway Lagoon, tuntut ganti rugi RM1.82 juta liza14/04/2026 - 14:26 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 April – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneruskan tindakan saman terhadap Sunway Lagoon berhubung dakwaan insiden keracunan makanan semasa penganjuran acara hari keluarga suruhanjaya itu pada tahun lalu dengan kes kini memasuki fasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

 

Saman tersebut difailkan pada 2 Januari 2026 dan dijadualkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Anita Harun pada 29 April ini.

 

Dalam penyataan tuntutan, MCMC menuntut bayaran balik penuh sebanyak RM1.82 juta di bawah kontrak bertarikh 5 Ogos 2025, selain perbelanjaan perubatan berjumlah RM30,339.75 serta ganti rugi am, ganti rugi khas dan ganti rugi teladan atas dakwaan pelanggaran kontrak dan kecuaian.

 

 

 

 

 

 

MCMC berkata ia telah melantik Sunway Lagoon Sdn Bhd untuk menganjurkan acara hari keluarga yang melibatkan 6,590 peserta namun mendakwa berlaku insiden apabila salah satu hidangan makan tengah hari didapati berbau busuk dan berasa masam.

 

Menurut suruhanjaya itu, aduan berkenaan telah disampaikan secara lisan kepada wakil pihak pengendali, namun tidak diambil tindakan sewajarnya.

 

MCMC mendakwa dalam tempoh dua hari selepas acara tersebut, lebih 870 peserta mengalami simptom seperti cirit-birit, muntah, demam dan sakit perut, sebelum laporan dibuat kepada polis dan Jabatan Kesihatan Selangor.

 

Susulan itu, dapur Sunway Lagoon ditutup selama 14 hari bermula 7 Oktober 2025, sebelum dibenarkan beroperasi semula pada 22 Oktober 2025 selepas mematuhi arahan yang ditetapkan.

 

Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Selangor kemudian memaklumkan bahawa seramai 322 daripada 4,710 peserta mengalami simptom keracunan makanan, tanpa sebarang kes kematian atau penyakit serius dilaporkan.

 

MCMC berkata memandangkan makanan dan minuman luar tidak dibenarkan semasa acara itu berlangsung, sumber pencemaran berkemungkinan besar berpunca daripada dapur pengendali taman tema tersebut.

 

Suruhanjaya itu mendakwa insiden tersebut berpunca daripada pencemaran makanan dan peralatan memasak, penyediaan makanan dalam kuantiti besar oleh bilangan pengendali terhad, penyimpanan makanan yang terlalu lama sebelum dihidang serta kemungkinan pencemaran silang.

 

MCMC menegaskan ia mengalami kerugian termasuk gangguan operasi apabila kakitangan tidak dapat hadir bekerja, selain kesan reputasi terhadap organisasi, termasuk ketika acara itu turut dihadiri pegawai kanan dan seorang anggota Kabinet yang didakwa memburukkan imej agensi.

 

Dalam pembelaan yang difailkan pada 23 Februari 2026, Sunway Lagoon menafikan sebarang pelanggaran kontrak atau kecuaian, sebaliknya menegaskan semua makanan disediakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) syarikat.

 

Pengendali taman tema itu berkata makanan dipantau dari segi kualiti, dibungkus tidak lebih dua jam sebelum hidangan, serta diperiksa setiap 30 minit bagi memastikan kesegaran, selain dapur dibersihkan setiap hari dan peralatan disanitasi secara berkala.

 

Sunway Lagoon turut menafikan menerima aduan semasa acara bahawa makanan berbau busuk atau berasa masam, serta mencabar dakwaan jumlah 870 kes, dengan merujuk kenyataan Jabatan Kesihatan yang menyebut hanya 322 kes.

 

Dalam pembelaannya, Sunway Lagoon juga mendakwa MCMC gagal mengemukakan bukti saintifik atau perubatan yang mengaitkan dapurnya sebagai punca pencemaran makanan, selain menegaskan penutupan dapur selama dua minggu dilakukan atas arahan pihak berkuasa dan bukan pengakuan liabiliti.

 

Syarikat itu turut mendakwa MCMC bersalah secara ‘contributory negligence’ kerana tidak memeriksa makanan yang dibungkus semasa penerimaan serta gagal memberi arahan kepada peserta untuk mengamalkan kebersihan dan memakan menu hidangan yang disediakan  dengan segera.

 

Selain itu, Sunway Lagoon berhujah peserta sendiri turut cuai kerana tidak mengamalkan kebersihan asas seperti mencuci tangan sebelum makan.

 

Sunway Lagoon juga mempertikaikan dakwaan MCMC mengenai gangguan operasi dengan menyatakan sebuah agensi pengawal selia tidak mengalami kerugian komersial dan menolak tuntutan berkenaan.

 

Dalam jawapan balas bertarikh 9 April 2026, MCMC menegaskan oleh kerana makanan luar tidak dibenarkan, sumber pencemaran paling berkemungkinan datang daripada dapur Sunway Lagoon.

 

 

 

 

 

 

 

MCMC juga menegaskan ia mengalami gangguan fungsi statutori, kemerosotan operasi serta kerugian kewangan akibat insiden tersebut.

 

Kes ini kini dikendalikan firma guaman Sreenevasan bagi pihak MCMC manakala Sunway Lagoon diwakili Azim, Tunku Farik & Wong dan akan ditentukan melalui prosiding mahkamah yang sedang berjalan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
View Original Article