MCMC siasat lelaki muat naik hantaran guna logo palsu syarikat akhbar di FB

LocalPolitics
6 Nov 2025 • 12:20 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat satu hantaran di Facebook yang memaparkan imej diubah suai sebuah akhbar harian Melayu dengan tajuk berita mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui perjanjian timbal balik perdagangan AS adalah cacat.

MCMC dalam satu kenyataan berkata, imej yang memaparkan logo Utusan Malaysia itu bukan sahaja palsu, malah boleh mengelirukan orang ramai.

Menurut agensi itu, Utusan Malaysia juga telah menafikan penerbitan sebarang artikel bertajuk “Anwar akui banyak kesilapan perjanjian dengan US”.

Pengawal selia internet itu berkata pihaknya telah merekodkan kenyataan seorang suspek hari ini di balai polis Alor Gajah serta merampas telefon bimbit dan kad SIM miliknya.

“Perkongsian kandungan palsu boleh merosakkan kredibiliti akhbar dan membawa kepada tindakan undang-undang,” katanya.

MCMC turut menasihati orang ramai untuk mengesahkan maklumat sebelum berkongsi di media sosial, terutama maklumat yang memaparkan logo agensi berita atau menyerupai laporan berita. - 6 November, 2025

The post MCMC siasat lelaki muat naik hantaran guna logo palsu syarikat akhbar di FB appeared first on Scoop.