
KUALA LUMPUR - Pembangunan Malaysia Digital (MD) yang berpandukan tiga prinsip utama, iaitu fleksibiliti, ketangkasan dan relevansi adalah bertujuan untuk merancakkan ekonomi digital negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, MD menerusi projek Mangkin MD atau PEMANGKIN akan berfungsi secara holistik dalam mentransformasikan ekosistem ekonomi digital negara menerusi tiga keutamaan strategik.
“Pertama, membantu memacu adaptasi digital dalam kalangan usahawan muda, syarikat dan rakyat; kedua, menyokong syarikat teknologi tempatan untuk menjadi ‘Juara Malaysia’ berjaya di peringkat antarabangsa dan ketiga, menarik pelaburan bernilai tinggi,” katanya ketika berucap pada acara pelancaran MD dan Sambutan Jubli Perak Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Pada peringkat awal, Ismail Sabri berkata, dua PEMANGKIN akan diperkenalkan, iaitu program DE Rantau dan Digital Trade.
Perdana Menteri menjelaskan, program DE Rantau bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab nomad digital pilihan di rantau ini melalui peningkatan penggunaan digital, mobiliti profesional digital dan aktiviti pelancongan di seluruh negara.
“Aktiviti nomad digital di dalam negara akan memberi kesan limpahan yang bukan sahaja membantu memulihkan semula sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik, malah bakal merancakkan aktiviti perniagaan dan ekonomi tempatan, di samping membuka peluang perkongsian pengetahuan serta pengalaman bersama komuniti setempat,” katanya.
Menurutnya, program Digital Trade pula akan memacu e-dagang dan adaptasi digital oleh perniagaan, memudahkan perdagangan merentas sempadan, selain menyokong pergerakan data antara perniagaan untuk meningkatkan kecekapan, ketepatan serta kebolehpercayaan transaksi merentas sektor dan industri.
Beliau berkata, menerusi penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), program itu akan mempermudah jangkauan lebih luas ke pasaran global, seterusnya memberi manfaat besar kepada perniagaan tempatan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Ismail Sabri memberitahu, bagi memastikan pelaksanaan MD lebih berkesan, Kabinet bersetuju agar Kementerian Komunikasi dan Multimedia adalah (K-KOMM) menubuhkan Jawatankuasa Koordinasi Malaysia Digital (MD-CC) untuk menyelaraskan tadbir urus dan operasinya, termasuk penganugerahan Status MD.
Seterusnya, beliau menyarankan pihak MDEC mewujudkan satu platform khusus untuk memberi peluang kepada pemain industri agar dapat mengambil bahagian secara berterusan dan memberikan maklum balas yang wajar sepanjang pelaksanaan MD.
“Saya yakin, dengan kerjasama dan muafakat pelbagai pihak, inisiatif MD ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya dan pihak kerajaan juga akan memberi tumpuan sepenuhnya agar ia dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya.
Ismail Sabri melahirkan keyakinan bahawa tadbir urus dan strategi pelaksanaan MD akan diselaraskan di peringkat tertinggi kerajaan dan pemantauan serta penambahbaikannya akan dibuat dari semasa ke semasa.
Beliau menambah, menerusi struktur tadbir urus baharu itu, MD berperanan mempercepatkan pendigitalan di seluruh negara, memangkinkan bidang pertumbuhan baharu, meningkatkan penyertaan syarikat teknologi tempatan dan menarik pelaburan berpotensi, sejajar dengan usaha merealisasikan aspirasi serta sasaran negara. - 4 Julai 2022
