Wanita maut nahas tiga kenderaan

17 Sep 2019 • 3:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUALA TERENGGANU - Seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kampung Kubang Ikan, Chendering di sini jam 7 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan berkata, mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan kereta Perodua Viva, Rohani Abd Rahman, 49, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan terbabas sebelum merempuh kenderaan yang dinaiki mangsa.

"Ketika kejadian kereta yang dinaiki mangsa dari arah Kampung Bukit menghala ke Chendering berada di belakang kereta Proton Wira.

"Apabila sampai di selekoh Jalan Kubang Ikan, kenderaan pacuan empat roda dari arah bertentangan terbabas dan masuk ke laluan kenderaan mangsa.

"Proton Wira yang berada di depan kenderaan mangsa tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan Toyota Hilux itu sebelum berlanggar dengan kenderaan yang dinaiki mangsa," katanya.

Katanya, pemandu Proton Wira luka di kepala sementara penumpang patah gigi dan sakit pada bahagian dada.

Abd Razak memberitahu, pemandu Toyota Hilux tidak mengalami kecederaan manakala pemandu dan seorang lagi penumpang Perodua Viva cedera dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Beliau berkata, punca kematian mangsa belum diketahui kerana bedah siasat masih dilakukan.