MDA batal lesen perniagaan tujuh syarikat tidak daftar peranti perubatan

6 Sep 2023 • 3:41 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PUTRAJAYA: Lesen perniagaan tujuh syarikat penjual, pengeluar dan pengedar peranti perubatan di negara ini yang tidak mendaftarkan peranti perubatan dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah dibatalkan, kata Ketua Eksekutif MDA Dr P Muralitharan (gambar).

Beliau berkata tindakan pembatalan lesen perniagaan yang direkodkan dari Januari hingga Ogos lepas yang melibatkan nilai rampasan kira-kira RM500,000 itu, dibuat berdasarkan Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).

“Antara peranti yang dirampas ialah termometer digital, monitor tekanan darah, kit ujian dan kondom,“ katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani khidmat perundingan pembangunan sistem aplikasi Medical Device Centralised Online Application System (MeDC@aSt 3.0) antara MDA dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU) di sini hari ini.

Beliau berkata syarikat terbabit juga akan didakwa di mahkamah kerana menjual dan mengedar peranti perubatan tidak sah serta tanpa kelulusan pihak berkuasa yang berisiko membahayakan pengguna.

MDA merupakan badan berkanun di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang ditubuhkan pada 2012 di bawah Akta Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (Akta 738) serta bertanggungjawab melaksana dan menguat kuasa Akta 737.

MDA bertanggungjawab menguruskan pendaftaran, permohonan lesen penjualan dan melakukan penilaian produk peranti perubatan sebelum ia dijamin selamat untuk digunakan di fasiliti kesihatan atau untuk dijual kepada pengguna. -Bernama