
KUALA LUMPUR: Program Digital Ninja anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah melahirkan 607 Digital Ninja sejak 2017 hingga 30 Julai lepas, dengan 200 daripadanya adalah pelajar perempuan.
Program Digital Ninja membuka peluang kepada pelajar sekolah berwarganegara Malaysia berumur 11 hingga 16 tahun yang berbakat dalam bidang teknologi digital bagi mengasah lanjut bakat digital dan kemahiran serta memberi pendedahan kepada pemikiran inovatif, kreatif, kemahiran penyelesaian masalah dan keusahawanan.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching (gambar) berkata program itu juga adalah langkah persediaan awal untuk membuka laluan kepada generasi muda terutama sekali murid perempuan, memasuki pengajian tinggi dan alam pekerjaan yang berkaitan dengan bidang teknologi digital bagi bersama-sama mencapai strategi ekonomi digital Malaysia.
“Para Digital Ninja terlibat secara bersiri sepanjang tahun untuk membangunkan kemahiran teknologi dan pembuatan digital serta kemahiran insaniah yang utama.
“Selepas menamatkan pengajian, mereka dibimbing ke arah menjadi pembuat perubahan digital dalam industri dan menyumbang kembali kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Digital Ninja #GirlsinTech yang diadakan sempena sambutan kempen global tahunan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) International Girls in ICT (G-ICT) 2023 di sini, hari ini.
Beliau berkata dianggarkan 65 peratus daripada murid sekolah masa kini akan menghadapi kerjaya yang belum lagi wujud disebabkan perubahan teknologi yang pesat serta peranan teknologi digital yang kian bertambah penting menjelang Revolusi Perindustrian 4.0.
Sementara itu, Teo berkata Malaysia berada di landasan yang tepat dalam pembangunan ekonomi digital yang kini menyumbang kira-kira 23.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan bakal melonjak kepada 25.5 peratus menjelang 2025.
“Angka ini akan terus meningkat dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang sekiranya pelajar sekolah kini menunjukkan minat untuk bersama-sama memperkasakan ilmu dan kemahiran digital dengan menceburi bidang STEM,“ katanya.
Menurutnya 80 peratus murid perempuan yang telah melanjutkan pengajian tinggi di Malaysia dan luar negara mengambil kursus dalam bidang teknologi digital, dan jumlah penyertaan wanita dalam sektor teknologi di Malaysia pula adalah di paras sekitar 35 peratus.
Sementara itu, beliau berkata MDEC akan menganjurkan Karnival Tahunan #mydigitalmaker 2023 bagi memberi peluang kepada pelajar sekolah menyertai pelbagai aktiviti seperti robotik, pengekodan, ciptaan dan inovasi, realiti maya serta pameran teknologi digital secara langsung.
Karnival berkenaan akan berlangsung pada 6 hingga 8 Okt depan dari 10 pagi hingga 8 malam di Quill City Mall Kuala Lumpur dengan kemasukan percuma. -Bernama

