MDEC hari ini telah mengadakan acara Sidang Kemuncak Penerimagunaan Teknologi Malaysia Digital: Kecerdasan Buatan (AI) hari ini yang bertujuan untuk mempercepatkan penerimagunaan AI dalam pelbagai industri.

Sidang kemuncak ini berfungsi sebagai pemangkin kepada kerjasama merentas industri dan menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan seperti usahawan, syarikat pemula, peneraju industri, penggubal dasar, ahli akademik dan pemain utama dalam ekosistem ekonomi digital.
Acara ini menawarkan platform untuk syarikat-syarikat teknologi tempatan memperlihatkan produk-produk yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan untuk menyelesaikan pelbagai jenis masalah yang dihadapi oleh syarikat syarikat perusahaan kecil dan sederhana dan juga konglomerat-konglomerat tempatan.
Diantara syarikat-syarikat teknologi tempatan ini adalah seperti Nexmind.AI, sebuah syarikat pembangun IT yang boleh membangunkan laman web dalam masa tiga minit sahaja, lengkap dengan kemampuan berbilang bahasa dengan mudah. Proses pembinaan laman web sebegini secara lazimnya mengambil masa beberapa minggu bergantung kepada kerumitan antaramukanya, tetapi dengan AI, ia dapat dilakukan dengan cepat.

Jika anda memerlukan sebuah sistem laporan pemasaran yang mudah digunakan, dan boleh menjana laporan dengan butiran yang lengkap, Peasy.AI bukan sahaja mempunyai penyelesaian untuk ini, tetapi juga membolehkan anda memasang chatbot dengan teknologi AI pada laman web anda untuk menjawab soalan-soalan ringkas berkaitan perkhidmatan ataupun perniagaan anda dengan cepat dan mudah.
GoLog, sebuah syarikat logistik rantaian sejuk juga kini telah menerapkan teknologi AI didalam perniagaan dan perkhidmatan logistik mereka. Menggunakan teknologi tersebut, mereka telah berjaya meningkatkan kecekapan pengurusan inventori dan laluan penghantaran barangan sebanyak 30 peratus. Ini membantu mereka mengurangkan kos operasi perkhidmatan dan membolehkan mereka menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan baru.
Sidang Kemuncak Penerimagunaan Teknologi Digital Malaysia: AI ini merupakan acara pertama dalam acara berimpak tinggi yang bertujuan untuk mempercepatkan penerimagunaan AI dalam pelbagai industri. Ia dijangka bahawa MDEC dan Kementerian Digital akan mengadakan lebih banyak acara-acara seumpama ini sepanjang tahun ini dan tahun hadapan sebagai sebahagian daripada National Artificial Intelligence Roadmap 2021-2025.

![Boleh Ke Guna Teknologi AI Untuk ‘Edit’ Gambar Berpeluk Dengan Arwah Ibu Bapa? Ini Kata Ustaz [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/technology.jpeg)