MDEC pacu kebolehoperasian e-invois bagi pendigitalan perniagaan
zulfadli
01/11/2023 - 11:38
KUALA LUMPUR 1 Nov - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sedang melaksanakan Inisiatif e-Invois Kebangsaan yang bertujuan untuk memacu kebolehoperasian dan penyelarasan e-invois dalam mendigitalkan perniagaan.
MDEC berkata, sejajar dengan agenda digitalisasi negara, inisiatif itu akan mewujudkan rangka kerja kebolehoperasian e-invois bagi penyedia perkhidmatan syarikat tempatan dan menggalakkan penggunaan e-invois dalam aktiviti perniagaan di Malaysia sekali gus melengkapkan sistem percukaian yang dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).
Katanya, pada 2022 MDEC memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan LHDN untuk menyelaraskan pelaksanaan Inisiatif e-Invois Kebangsaan bagi model pematuhan cukai di seluruh negara serta berkongsi status rangka kerja berkaitan perancangan, strategi dan perkembangan berhubung inisiatif tersebut.
"Perniagaan yang menggunakan e-invois ini akan menerima pelbagai manfaat terutamanya kepada pembayar cukai.
"Selain meningkatkan kecekapan operasi perniagaan, e-invois ini dapat mengurangkan kos pematuhan cukai, memudahkan urusan penyimpanan rekod, memudahkan pertukaran data rentas sempadan menerusi transaksi perniagaan serta menghentikan kemasukan data secara manual dan penggunaan kertas.
"Inisiatif ini secara tidak langsung dapat menggalakkan usaha syarikat dalam memenuhi komitmen amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut kenyataan itu, selari dengan Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (RMK-12), inisiatif e-invois ini juga menumpukan agenda bagi memperkukuh infrastruktur perkhidmatan digital dan seterusnya ke arah pendigitalan pentadbiran cukai.
Katanya, inisiatif itu juga seiring dengan Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang (NESR) 2.0 dan Program Pemangkin Digital Malaysia (PEMANGKIN) bawah sektor Perdagangan Digital yang diselia MDEC.
"Pelaksanaan e-invois untuk pendigitalan perniagaan (B2B) menggunakan rangka kerja Peppol yang terdiri daripada spesifikasi teknikal untuk penyelesaian e-Perolehan sedia ada atau sistem Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) ini membuka ruang bagi kebolehoperasian yang lebih sistematik antara sistem yang berbeza merentas perniagaan serta memudahkan pertukaran e-invois," katanya.
MDEC baru-baru ini dilantik sebagai Pihak Berkuasa Peppol Malaysia yang memberi akreditasi kepada penyedia perkhidmatan dan penyedia rumusan bagi menetapkan piawaian teknikal, pematuhan rangka kerja secara keseluruhan di Malaysia serta menggalakkan penggunaan e-invois dalam perniagaan di Malaysia. - DagangNews.com


