MDEC tawar insentif sehingga RM200,000 bagi memperkasa syarikat kreatif digital
diyana
05/03/2024 - 17:53
KUALA LUMPUR 5 Mac - Kementerian Digital melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menawarkan sokongan kewangan yang besar sehingga RM200,000 setiap projek bagi syarikat kreatif digital dalam usaha untuk memupuk inovasi dan memacu transformasi digital.
Tawaran tersebut melibatkan dua program insentif, iaitu Brand Metaverse Onboarding Programme dan Immersive IP Experiences Programme, yang bertujuan untuk mempercepatkan penyepaduan jenama dan harta intelek (IP) Malaysia ke dalam metaverse.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, di bawah Brand Metaverse Onboarding Programme, syarikat berkelayakan boleh mengakses insentif sehingga RM100,000 untuk membangunkan kandungan dunia maya yang mengasyikkan dan berasaskan pengalaman yang disesuaikan untuk jenama Malaysia.

“Skop projek merangkumi penciptaan aset digital yang pelbagai, berasaskan pengalaman dan persekitaran dalam metaverse. Daripada model 3D kepada persembahan dan permainan multimedia interaktif, inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan pengalaman dan interaksi pengguna dalam alam maya,” ujar beliau selepas mengumumkan insentif itu dalam ucapannya di acara Hari Industri Kreatif Digital MDEC di sini hari ini.
Sementara itu, Immersive IP Experiences Programme menawarkan insentif sehingga RM200,000 setiap projek dan menyasarkan pengembangan harta intelek terbaik Malaysia kepada orang ramai yang lebih luas melalui metaverse terpusat Web2/Web3 sedia ada.

Menurut MDEC, pemohon yang berjaya akan ditugaskan untuk mencipta sekurang-kurangnya 10 minit kandungan mengasyikkan yang menampilkan watak dan tetapan berdasarkan harta intelek rakan kongsi Malaysia.
“Program insentif ini menyasarkan untuk memperkasakan pencipta kandungan digital, merangsang pembangunan kandungan berkaitan harta intelek dalam metaverse dan memangkin transformasi digital dalam sektor perniagaan.
“Dengan menawarkan sokongan kewangan dan menggalakkan penggunaan teknologi termaju, MDEC berdedikasi untuk memajukan ekosistem digital Malaysia,” katanya. - DagangNews.com



