MDUA Motor Sdn Bhd Lancar MODA Aero E – Skuter Urban Serba Moden untuk Generasi Aktif

LocalCars
2 Dec 2025 • 10:55 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

MDUA Motor Sdn Bhd hari ini secara rasmi melancarkan MODA Aero E, skuter terbaharu mereka yang tampil penuh gaya di Six In The City, Petaling Jaya. Direka khas untuk penunggang muda yang aktif dan mementingkan penampilan, Aero E hadir sebagai pilihan mobiliti urban yang segar, menggabungkan rekaan moden, ciri praktikal dan prestasi harian yang boleh diharapkan.

Aero E tampil dengan reka bentuk lebih tajam dan aerodinamik, diserlahkan melalui dua pilihan warna berani iaitu Cobalt Blue dan Carmine Red. Identitinya diperkukuhkan lagi dengan lampu projektor LED berkembar di bahagian hadapan serta lampu LED rentang penuh di belakang, memberi penyampaian visual premium terutamanya ketika tunggangan malam.

Dari segi prestasi, Aero E dikuasakan oleh enjin 118.8cc SOHC empat lejang berpenyejukan udara dengan sistem suntikan bahan api elektronik. Berat keseluruhan adalah 110 kg serta jarak roda 1,316 mm memberikan keseimbangan antara kestabilan dan kelincahan, sesuai untuk menempuh trafik bandar dan ruang sempit. Skuter ini turut menawarkan tangki bahan api 5.5 liter serta ruang simpanan bawah pelana sebesar 6.5 liter, menjadikannya ianya praktikal untuk kegunaan harian.

image is not available

Kemudahan moden menjadi salah satu tarikan utama Aero E. Paparan meter digital LCD yang jelas memaparkan semua maklumat penting, manakala port pengecasan USB dan USB-C memudahkan pengguna mengekalkan peranti mereka sentiasa bertenaga sepanjang perjalanan. Tayar hadapan 90/90-14 dan tayar belakang 100/90-14 pada rim 14 inci pula memastikan kawalan yang yakin dalam pelbagai keadaan jalan.

image is not available

Sistem keselamatan asas hadir melalui brek cakera di hadapan dan brek dram di belakang, disokong suspensi teleskopik dan penyerap hentakan tunggal yang memastikan tunggangan selesa. Aero E juga menerima pensijilan Euro 4 bagi memastikan ia mematuhi piawaian emisi semasa.

MODA Aero E kini boleh didapati di semua pengedar sah MODA di seluruh negara pada harga RM5,189 (tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans).

Untuk maklumat lanjut, layari saluran media sosial MODA Motor atau kunjungi laman web rasmi mereka di modamotorcycles.com

The post MDUA Motor Sdn Bhd Lancar MODA Aero E – Skuter Urban Serba Moden untuk Generasi Aktif appeared first on TW Media.

View Original Article