MEASAT pamer rumusan baharu satelit di Asia Tech x Singapore mulai 7 hingga 9 Jun 2023
zulfadli
06/06/2023 - 15:43
KUALA LUMPUR 6 Jun - Penyedia rumusan satelit terkemuka, MEASAT Global Bhd, berkembang melangkaui ketersambungan dengan mempamerkan rumusan satelit terbaharunya di SatelliteAsia, Asia Tech x Singapore 2023 (ATxSG), bermula 7 hingga 9 Jun 2023 di Pusat Pameran Ekspo Singapura.
Pada program itu, MEASAT akan mengadakan demonstrasi rumusan baharu dengan kerjasama peneraju industri global Amazon Web Services (AWS), Cisco Systems Inc (Cisco) dan Hughes Network Systems (Hughes).
Ketua Pegawai Operasi MEASAT, Yau Chyong Lim berkata, pihaknya sedang giat memajukan keupayaan di luar ketersambungan untuk keperluan pelanggan perusahaan dan pengguna luar bandar.
"Kami berbangga untuk bekerjasama rapat dengan pemimpin industri global seperti AWS, Cisco dan Hughes untuk membangunkan kandungan, perusahaan, awan dan penyelesaian keselamatan, antara lain.
"Kerjasama ini adalah pendekatan mengoptimumkan keupayaan kami untuk menyediakan lebih daripada jalur lebar satelit berkelajuan tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu katanya, MEASAT juga bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi untuk menghubungkan masyarakat luar bandar merentasi Asia Tenggara dengan jalur lebar satelit dan aplikasi digital dengan melaksanakan ilmu yang diperolehi daripada kejayaan CONNECTme NOW di Malaysia.

"Di MEASAT, kami sangat percaya kepentingan menutup jurang digital dan menambah baik akses kepada ekonomi digital luar bandar, bukan sahaja di Malaysia, tetapi di mana-mana sahaja kami beroperasi," katanya. - DagangNews.com



