Mechamato bakal ditayangkan di China, MONSTA umum kerjasama dengan Youku

LocalEntertainment
22 Apr 2025 • 8:48 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Syarikat animasi tempatan, MONSTA, mencatatkan satu lagi kejayaan apabila mengumumkan bahawa siri animasi popular Mechamato bakal memasuki pasaran China menerusi kerjasama strategik bersama platform penstriman utama negara itu, Youku.

Perjanjian yang dimeterai ini meliputi hak penyiaran, pelesenan, dan produk dagangan (licensing & merchandising), sekaligus membuka lembaran baharu dalam pengembangan jenama Mechamato ke peringkat global.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak, usaha untuk menembusi pasaran China telah berlangsung selama dua tahun melalui rundingan dan perbincangan yang teliti. Hasilnya, Mechamato kini bersedia untuk memperkenalkan kandungan tempatan Malaysia kepada jutaan penonton di China.

“Alhamdulillah, selepas dua tahun rundingan, Mechamato akhirnya akan memasuki pasaran China! Kami amat teruja untuk bekerjasama dengan Youku dalam siaran, pelesenan, dan produk dagangan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dalam pada itu MONSTA menyifatkan langkah ini sebagai detik penting dalam usaha memartabatkan animasi tempatan dan jenama Malaysia di mata dunia.

“Ini merupakan langkah penting dalam usaha mengembangkan jenama Mechamato dan Malaysia ke peringkat global! Kami berharap dapat menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan rakan-rakan di China dan membina hubungan jangka panjang yang lebih kukuh,” katanya.