
KUALA LUMPUR - Media yang bebas, beretika dan berwibawa adalah antara tiang seri utama demokrasi yang matang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keseimbangan antara kemajuan teknologi dan nilai-nilai kemanusiaan semakin mendesak untuk dipertahankan, dalam dunia yang semakin canggih dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI).
Menurut beliau, rakyat tidak boleh hanya mengejar teknologi semata-mata tanpa menginsafi keperluan untuk berpijak di bumi yang nyata.
“Ini menjurus kepada berpaksikan kepada kebenaran, keadilan, nilai moral dan tanggungjawab sosial.
“Inilah maksud ‘menggapai langit, tetapi tetap mengakar ke bumi’,” katanya.
Perdana Menteri menyatakan demikian pada sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di sini hari ini.

Anwar berkata, HAWANA 2025 menjadi medan penting untuk memperkukuh ekosistem media negara.
“Ini khususnya dalam memperkasa pengamal media untuk menghadapi cabaran baharu termasuk ledakan maklumat, penularan fitnah, dan manipulasi persepsi di era digital,” katanya.
Jelas beliau, kerajaan dengan bertunjang kesedaran itu bersetuju memperuntukkan RM30 juta bagi menjayakan transformasi digital dan peningkatan kapasiti wartawan serta organisasi media, termasuk melalui latihan, pendedahan teknologi dan sokongan infrastruktur.
“Kita mahu wartawan Malaysia bersedia dan setanding dengan dunia, tetapi tetap teguh berteraskan etika dan prinsip kebenaran.
“Kita menolak ‘manufacturing consent’, dan dalam masa sama, harus menolak ‘manufacturing dissent’. Kritikan dibenarkan namun ia harus bertanggungjawab,” katanya.
Anwar pada majlis sama turut mengucapkan terima kasih kepada semua pengamal media yang terus memainkan peranan penting sebagai penyampai maklumat.
“Media juga ialah pencetus wacana, pengimbang kuasa dan pendukung agenda reformasi serta pembangunan Malaysia MADANI,” katanya. - Getaran, 14 Jun 2025

