Media berperanan jadi mata dan telinga Maritim Malaysia

LocalPolitics
9 Nov 2024 • 3:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Rosli beramah mesra dengan petugas media yang hadir pada Program Hari Bersama Media Maritim Malaysia 2024 di Putrajaya pada Sabtu. Foto SINAR HARIAN-MOHD HALIM ABDUL WAHID

image is not available
Mohd Rosli (dua dari kanan) bergambar bersama peserta Program Hari Bersama Media Maritim Malaysia 2024 di Putrajaya pada Sabtu. Foto SINAR HARIAN-MOHD HALIM ABDUL WAHID

image is not available
Mohd Rosli (kiri) menyampaikan cenderamata kepada wakil Sinar Harian, Mohd Fazli pada Program Hari Bersama Media Maritim Malaysia 2024 di Putrajaya pada Sabtu. Foto SINAR HARIAN-MOHD HALIM ABDUL WAHID

PUTRAJAYA - Media memainkan peranan dalam menyampaikan mesej kesedaran awam bagi memastikan keselamatan negara terus dipelihara.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, petugas media bukan sahaja melaporkan aktiviti dan operasi kejayaan Maritim Malaysia, sebaliknya, menjadi mata dan telinga dalam menyampaikan maklumat.

"Media merupakan medium dalam konteks memberi kesedaran kepada masyarakat untuk bersama memelihara keselamatan negara.

"Untuk itu kita juga memerlukan sokongan daripada masyarakat," katanya kepada pemberita selepas Program Hari Bersama Media Maritim Malaysia 2024 di Lapang Sasar Kelab Menembak Sasaran Shapadu di sini, pada Sabtu.

Dalam program itu, seramai 80 pengamal media daripada pelbagai agensi termasuk Sinar Harian terlibat dalam pertandingan menembak bagi kategori 'precision' individu dan kumpulan selain jatuh piring berkumpulan.

Sinar Harian diwakili Penolong Pengarang Berita (Digital), Mohd Fazli Zainul Abidin dan wartawan Muhammad Afham Ramli, Ahmad Ismadi Ismail, Izwan Rozli serta jurufoto, Mohd Halim Abdul Wahid.

Program bertujuan mengeratkan hubungan antara media dan agensi itu juga dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah.

Dalam pada itu, kata Mohd Rosli, untuk rekod tahun ini, hampir 9,500 liputan berita direkodkan Maritim Malaysia.

"Peranan media mendidik masyarakat adalah penting bagi memastikan mesej itu sampai. Saya percaya dengan kerjasama ini dapat membentuk persepsi positif, meningkatkan kesedaran awam dan bina keyakinan bagi terus memelihara keselamatan negara," ujarnya.