Media cetak, jangan mengalah!

LocalOpinion
1 Jun 2026 • 10:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Media cetak, jangan mengalah!
Sesebuah berita yang diterbitkan dalam akhbar lazimnya melalui proses semakan, penyuntingan dan pengesahan yang ketat. Foto fail Bernama

KETIKA menyampaikan ucapan pada Malam Wartawan Malaysia 2021, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan keyakinan bahawa media tradisional masih mempunyai tempat dan kekal relevan walaupun diasak media baharu.

Pandangan beliau itu bukan sekadar ungkapan nostalgia terhadap zaman kegemilangan akhbar, sebaliknya satu pengiktirafan bahawa setiap medium mempunyai peranannya yang tersendiri.

Generasi hari ini mungkin tidak lagi menyaksikan kelibat penghantar akhbar bermotosikal yang mencampakkan naskhah ke halaman rumah seawal subuh.

Dulu kedai runcit di Seksyen 2, Shah Alam menjual bermacam jenis akhbar dan majalah, sekarang tinggal satu baris saja.

Jumlah naskhah juga tidak sebanyak dahulu. Kedai lain pun serupa. Rakan saya Shah misalnya,sering merungut susah nak dapatkan Sinar Harian di Meru.

Dulu, di luar Pasar Besar Khadijah Kota Bharu meriah dengan penjual akhbar dan majalah, sekarang hampir sudah tiada.

Hakikat bahawa akhbar masih dijual di kedai runcit, stesen minyak dan gerai tertentu menunjukkan media cetak belum hilang daripada kehidupan rakyat.

Benar, berita di media sosial lebih pantas. Apa yang berlaku di New York boleh diketahui di Kuala Lumpur dalam beberapa saat.

Malah setiap individu juga kini boleh menjadi 'wartawan' dengan hanya memiliki akaun media sosial. Akibatnya, sempadan antara fakta, persepsi dan propaganda menjadi semakin kabur.

Di sinilah media cetak mempunyai kelebihan yang sukar ditandingi. Sesebuah berita yang diterbitkan dalam akhbar lazimnya melalui proses semakan, penyuntingan dan pengesahan yang ketat.

Nama wartawan, editor dan organisasi penerbitan dipertaruhkan bersama setiap laporan yang disiarkan.

Tanggungjawab inilah yang menjadi asas kepada kredibiliti kewartawanan profesional. Selagi masyarakat memerlukan fakta sahih, analisis yang berwibawa dan suara yang bertanggungjawab, roh media cetak akan terus hidup.

Lihat sahaja bagaimana buku masih bertahan walaupun televisyen, internet dan platform penstriman berkembang pesat.

Industri penerbitan buku terus hidup kerana masyarakat memahami bahawa pengalaman membaca buku tidak sama dengan menonton video pendek selama satu minit.

Mempertahankan media cetak tidak bermaksud menolak kemajuan teknologi. Namun media tradisional tidak boleh hidup dalam kepompong nostalgia. Akhbar yang enggan berubah akan tenggelam.

Hari ini, banyak organisasi media mengamalkan model hibrid. Selain akhbar cetak, Sinar Harian turut mempunyai versi digital iaitu Sinar Online dan Sinar Daily berbahasa Inggeris.

Pendekatan ini membolehkan Sinar Harian memanfaatkan kelebihan kedua-dua platform.

Hakikatnya, yang akan menentukan hayat media cetak bukanlah teknologi, tetapi masyarakat sendiri. Kerana pada akhirnya, masyarakat bukan sekadar memerlukan berita yang pantas.

Mereka memerlukan berita yang boleh dipercayai. Selagi keperluan itu wujud, media cetak tidak akan mati. Ia hanya sedang menyesuaikan diri dengan zaman.

Seperti kata-kata yang diungkapkan oleh Ismail Sabri kepada warga media: “Jangan mengalah.” Pesanan itu bukan sekadar ditujukan kepada wartawan, tetapi kepada seluruh ekosistem kewartawanan yang menjadi benteng maklumat negara.

Media cetak mungkin berubah wajah, tetapi misinya tetap sama, menyampaikan kebenaran kepada masyarakat. Itulah sebabnya masa depannya masih ada.

Dalam dunia yang semakin sesak dengan maklumat, peranannya mungkin menjadi lebih penting daripada sebelumnya.

Saya turut mengucapkan Selamat Hari Kewartawanan Nasional 2026 kepada semua pengamal media dan wartawan di seluruh negara. Teruskan menyampaikan kebenaran!

*Azmi Tarmizi ialah Editor Eksekutif di Sinar Harian. Anak jati Felda Soeharto ini pernah menjadi SU Akhbar Perdana Menteri kesembilan

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved