Median upah bulanan 6.45 juta pekerja formal Malaysia bernilai RM2,600 pada Mac 2023 - DOSM

4 Aug 2023 • 12:51 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Median upah bulanan 6.45 juta pekerja formal Malaysia bernilai RM2,600 pada Mac 2023 - DOSM

zulfadli

04/08/2023 - 12:51

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Median upah bulanan pada Mac 2023 bagi pekerja formal warganegara adalah sebanyak RM2,600 membabitkan seramai 6.45 juta orang, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pada Mac 2023, pekerja formal lelaki merangkumi 55.5% atau seramai 3.58 juta orang dengan median upah sebanyak RM2,664 sebulan.

Sementara itu katanya, 44.5% daripada keseluruhan pekerja formal diwakili oleh pekerja perempuan bersamaan dengan 2.87 juta orang dengan median upah bulanan sebanyak RM2,545.

"Perbandingan dengan Mac 2022, median upah bulanan bagi kedua-dua pekerja formal lelaki dan perempuan menunjukkan tren yang meningkat, masing-masing sebanyak 8% dan 8.6%," katanya dalam kenyataan media di sini.

Terdahulu, DOSM buat pertama kalinya mengeluarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal), Suku Tahun Pertama 2023 yang dilancarkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli hari ini.

Mohd Uzir berkata, median upah bulanan tertinggi pada Mac 2023 direkodkan oleh pekerja formal berumur 45 hingga 49 tahun dan 40 hingga 44 tahun sebanyak RM3,500.

Kedua-dua kumpulan ini secara kolektif membentuk hampir 20% daripada jumlah keseluruhan pekerja formal.

image is not available

"Seterusnya, median upah bulanan mula menunjukkan penurunan bagi kumpulan umur 50 hingga 54 tahun dengan median upah bulanan sebanyak RM3,400 pada Mac 2023. Sebaliknya, kumpulan umur bawah 20 tahun menerima median upah bulanan terendah sebanyak RM1,500 (Mac 2023)," katanya.

Mengulas lanjut tentang situasi upah mengikut aktiviti ekonomi, beliau berkata, kesemua sektor merekodkan peningkatan dalam median upah bulanan.

Katanya, bagi sektor perlombongan dan pengkuarian, walaupun hanya mewakili 0.5% daripada keseluruhan pekerja formal, mencatatkan median upah bulanan tertinggi pada Mac 2023 sebanyak RM7,500.

"Manakala, median upah bulanan terendah diterima bagi sektor pertanian iaitu sebanyak RM1,900, menunjukkan pertumbuhan yang signifikan sebanyak 8.9% tahun ke tahun pada Mac 2023," katanya.

Mohd Uzir menambah, pada Mac 2023, median upah bulanan tertinggi diterima oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak RM3,927, diikuti Selangor sebanyak RM2,964 dan Pulau Pinang sebanyak RM2,627.

Sebaliknya, Kelantan, Perlis dan Sabah menunjukkan median upah bulanan yang rendah masing-masing sebanyak RM1,600, RM1,627 dan RM1,782, dalam tempoh yang sama. - DagangNews.com