
Selain cip mercu Dimensity 9500s , MediaTek turut melancarkan cip pemprosesan baharu kelas pertengahan premium Dimensity 8500 semalam. Ia meneruskan penggunaan rekaan 4nm serta lapan teras CPU Cortex-A725 yang mampu beroperasi pada kelajuan sehingga 3.4GHz.

CPU Cortex-A725 ini dipadankan dengan GPU Mali-G720 dengan ia menawarkan peningkatan prestasi sebanyak 25% serta penggunaan kuasa 20% lebih rendah berbanding generasi terdahulu. Cip ini menyokong sensor kamera sehingga 320MP, rakaman video 4K 60fps. Resolusi skrin pula adalah sehingga WQHD+ dengan kadar segar semula sehingga 144Hz.
Melengkapkan spesifikasi cip ini adalah sokongan memori LPDDR5X RAM dan storan UFS 4. Tidak ketinggalan, ia turut disertakan dengan NPU 880 yang berkebolehan menyokong kebanyakan model kecerdasan buatan (AI) dan penjanaan gambar terus pada peranti.
Spesifikasi lagi ialah sambungan rangkaian 5G dwi-SIM aktif serentak, Wi-Fi 6E, Bluetooth 5.4, serta sokongan semua sistem satelit GPS. MediaTek belum mengumumkan peranti pertama yang akan menggunakan Dimensity 8500.

