'Medium terbaik berkongsi kepada pelajar' - Polis

8 Sep 2023 • 1:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Muhamad Sajidan bergambar bersama pelajar SMK Batu Laut dan Sekolah Kebangsaan Sungai Ramal Dalam selepas sesi temu wartawan di Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat.

image is not available
Muhamad Sajidan bergambar bersama Muhammad Nor Hakim (kanan) ketika lawatan di booth pameran Polis Diraja Malaysia di Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat.

image is not available
Muhamad Sajidan menyampaikan cenderamata kepada wakil pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Ramal Dalam selepas sesi temu wartawan di booth Sinar Harian di Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat.

SHAH ALAM - Medium temu wartawan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kompleks Karangkraf dekat sini pada Jumaat menjadi platform perkongsian terbaik kepada golongan pelajar.

Pegawai Turus Operasi Darat, Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Selangor, Superintenden Muhamad Sajidan Abdul Sukor berkata, forum ini sangat sesuai untuk dibuat secara berkala.

Menurutnya, ia bukan sahaja memfokuskan kepada pihak polis tetapi boleh juga dikembangkan kepada badan uniform lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Forum sebegini dapat menyasarkan lebih ramai audiens terutama dalam kalangan pelajar dan anak muda kerana ia disiarkan secara langsung di aplikasi Facebook dan TikTok.

"Saya lihat trend TikTok hari ini mempunyai pengikut yang ramai dan perlu diguna sebaiknya untuk berkongsi tentang pendidikan termasuklah isu-isu jenayah," katanya kepada Sinar Harian selepas sesi Temu Wartawan di sini pada Khamis.

Tambah Muhamad Sajidan, beliau turut teruja dengan sambutan meriah pada karnival ini.

Dalam sesi Temu Wartawan itu, beliau berkongsikan tentang pengalaman dan cabaran sebagai pegawai polis selain pendedahan tentang jenayah buli dalam kalangan pelajar.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang, Muhammad Nor Hakim Shahril, 16, turut berkongsikan minat untuk menjadi pegawai polis.

"Sejak kecil saya memang minat untuk jadi polis kerana cabaran dan tugasnya untuk menjaga keselamatan serta keamanan negara.

"Ini azam saya. Banyak perkara dipelajari dalam badan beruniform ini antaranya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), unit forensik dan unit anjing pengesan (K9)," jelasnya.