
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), dengan kerjasama Yayasan Raja Zarith Sofiah dan Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (AKRAB), membawa pementasan Karya Agung Teater Tradisional Mek Mulung “Putera Cahaya Bulan” ke Johor Bahru bagi meruskan dan menjayakan Siri Jelajah 2.
Pementasan ini berlangsung di Permaisuri Zarith Sofiah Opera House pada 20 Disember 2024, jam 8.30 malam, dan 21 Disember 2024, jam 3.00 petang. Program ini bertujuan memelihara warisan seni Mek Mulung yang telah tersenarai sebagai "Warisan Budaya Tidak Ketara Yang Memerlukan Perlindungan Segera" oleh UNESCO pada Disember 2023. Siri jelajah ini juga berhasrat untuk menyemarakkan seni tradisional tersebut kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Kisah “Putera Cahaya Bulan”
Teater tradisional ini mengisahkan perjuangan Putera Cahaya Bulan, Raja Negeri Selindungan Bulan, dalam melindungi permaisurinya, Puteri Nang Mara yang rupawan dan mempunyai kesaktian, daripada ancaman Raja Gergasi dari Benua Pakkian. Kisah ini dipenuhi elemen dramatik, di mana Raja Gergasi berusaha merebut Puteri Nang Mara yang dianggap sebagai penghalang utama kejayaannya.

Dalam usaha melindungi isterinya, Putera Cahaya Bulan menitahkan seluruh rakyat berjaga selama tujuh hari tujuh malam. Namun, Raja Gergasi bersama dua pengasuhnya berjaya menyelinap masuk ke Kota Selindungan Bulan.
Adakah Putera Cahaya Bulan berjaya menyelamatkan Puteri Nang Mara dan mengembalikan keamanan di Negeri Selindungan Bulan? Para penonton dibawa melalui perjalanan emosi dan aksi penuh konflik, yang memberikan pengalaman teater yang luar biasa.
Memartabatkan Warisan Budaya

Mek Mulung bukan sekadar persembahan seni; ia merupakan warisan budaya yang kaya dengan nilai estetika dan pengajaran. Melalui program ini, JKKN berharap dapat memberi peluang kepada penggiat seni untuk mempersembahkan bakat mereka serta mendorong kajian lanjut mengenai seni tradisional Mek Mulung.
Pementasan “Putera Cahaya Bulan” di Johor Bahru adalah bukti komitmen JKKN dalam mengangkat seni tradisional Mek Mulung ke peringkat yang lebih tinggi. Bagi mereka yang berminat, layari laman sesawang JKKN di www.jkkn.gov.my atau mengikuti laman Facebook rasmi JKKN di @mysenibudaya.

![“Beri Inspirasi” – Mat Saleh Ini Puji Rakyat Malaysia, Tak Kekok Bertutur Lebih 1 Bahasa [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/entertainment.jpeg)
