Mekanik didakwa bunuh teman wanita

30 Aug 2022 • 3:47 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KLANG: Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh teman wanitanya dalam kejadian pada minggu lepas.

Tertuduh, Amirul Amin Amirruddin,19, didakwa membunuh Nurul Shahira Abdullah, 24, di sebuah rumah di Lorong Haji Mahat, Kampung Sri Pandan, di sini pukul 7.18 malam pada 24 Ogos lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan tertuduh hanya mengangguk faham ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noorjidah Mohd Jusan.

Amirul Amin didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hanis Zulkapli, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Norazihan Adnan dan Althea Suraya Rahmat.

Mahkamah menetapkan 26 Okt ini untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan bedah siasat, forensik dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Pada 25 Ogos lepas, media melaporkan seorang wanita berusia 24 tahun ditemukan mati dipercayai akibat ditekup menggunakan bantal oleh kekasihnya di sebuah rumah di Kampung Sri Pandan, Klang. -Bernama