Mekanik dipenjara ugut bunuh ibu bapa, bakar rumah

31 Jul 2026 • 3:52 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Mekanik dipenjara ugut bunuh ibu bapa, bakar rumah

Kota Kinabalu: Seorang mekanik dipenjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret pada Khamis selepas mengaku bersalah mengugut untuk membunuh ibu bapanya serta membakar rumah keluarga kerana permintaannya untuk mendapatkan wang ditolak.

Abdul Habir, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali atas pertuduhan mengugut bapanya Mujibburahman Sadik, 54, dan ibunya Nurhayati Abdullah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Kalansanan, Inanam kira-kira jam 3.17 petang pada 21 Julai lalu.

Mengikut fakta kes Abdul bertindak berang selepas ibunya enggan memberikan wang kepadanya.

Tertuduh kemudian mengugut untuk membakar rumah keluarga menggunakan petrol serta membunuh bapanya menyebabkan pengadu bimbang akan keselamatan keluarganya sebelum membuat laporan polis.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Melalui peguam bela Carmen Khoo, Abdul memohon hukuman ringan dengan alasan dia menyesali perbuatannya.

Tertuduh memberitahu mahkamah bahawa dia merupakan seorang bapa kepada seorang anak telah bercerai, bekerja sebagai mekanik, membantu menyara ibu bapanya dan menghidap tekanan darah tinggi.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh memohon hukuman penjara yang setimpal memandangkan keseriusan ugutan tersebut, kepentingan awam serta keperluan melindungi mangsa.

Mahkamah dalam penghakimannya menegaskan bahawa kesalahan itu dilakukan terhadap bapa kandung tertuduh sendiri dan ahli keluarga sepatutnya dilindungi, bukannya diugut.

Mahkamah memerintahkan Abdul menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap.

Dalam kes berasingan seorang ejen pertaruhan berusia 34 tahun didenda RM1,500 atau penjara sebulan selepas mengaku bersalah menjalankan aktiviti pertaruhan bola sepak.

Aminah Siobli mengaku melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah premis makanan di Pusat Komersial Kepayan Ridge pada jam 11.30 malam, 18 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah dimaklumkan bahawa Aminah ditahan polis yang menjalankan Ops Soga sebelum merampas sebuah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM795.

Pemeriksaan terhadap telefon bimbit tersebut menemui aplikasi yang digunakan untuk menjalankan transaksi pertaruhan bola sepak dalam talian manakala siasatan mendapati tertuduh mengaku terlibat sebagai ejen pertaruhan bola sepak secara dalam talian.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved