Seorang mekanik berusia 42 tahun ditahan polis selepas videonya memukul seekor anjing peliharaan menggunakan tukul besi di Taman Ria, Bercham, tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tangkapan dilakukan sekitar jam 3 petang Isnin oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam, Sabtu lalu. Suspek dipercayai bertindak demikian kerana marah digigit oleh haiwan peliharaannya itu,” katanya.
Menurut beliau, anjing terbabit telah diselamatkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak untuk rawatan, sementara tukul besi serta pakaian yang digunakan suspek semasa kejadian turut dirampas sebagai bahan bukti.
Hasil semakan mendapati, suspek memiliki lesen sah untuk memelihara haiwan tersebut, namun individu itu mempunyai empat rekod jenayah lampau dan 17 kesalahan berkaitan narkotik.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Binatang 1953 kerana menganiaya haiwan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya.
Terdahulu, video berdurasi 43 saat yang dikongsi di laman Facebook Malaysian Dogs Deserve Better menunjukkan seorang lelaki memukul anjing dengan tukul. Video itu dipercayai dirakam oleh saksi yang tinggal berhampiran tempat kejadian.
Sumber: MalaysiaKini, Harian Metro, Sinar Harian
The post Mekanik disyaki pukul anjing peliharaan dengan tukul, ditahan polis appeared first on The Reporter.


