
PEKAN – Tindakan pantas seorang lelaki mengejar sebuah kenderaan mencurigakan berjaya menggagalkan cubaan mencuri lembu milik bapa saudaranya di kawasan Ladang Sawit LKPP Kampung Landai, Nenasi, di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, suspek nekad menolak keluar lembu yang dicuri dari kereta sebelum memecut kenderaan dipandunya.
Menurutnya, usaha mekanik (pengadu) mengejar bersama penduduk kampung tidak berhasil apabila suspek melarikan diri dengan memandu kereta jenis Inokom Matrix.
“Pengadu berusia 33 tahun yang ketika itu berada di bengkel telah dihubungi bapa saudaranya memaklumkan tentang kehadiran sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di kawasan ladang tersebut.
“Pengadu segera ke lokasi dan terserempak dengan suspek yang membawa seekor lembu disyaki haiwan curi lalu bertindak mengejarnya,” katanya.
Mohd Zaidi berkata semasa aksi kejar mengejar, pengadu ternampak suspek membuka pintu belakang kereta dan menolak jatuh seekor lembu ke tepi jalan.
“Selepas gagal mengejar kenderaan tersebut, lelaki itu datang ke Balai Polis Nenasi untuk membuat laporan,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
Video kejadian itu sebelum ini tular selepas dimuat naik di laman sosial Facebook.
