Mekanik miliki senapang angin dipenjara 7 tahun

14 Feb 2023 • 4:01 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang mekanik berusia 44 tahun, yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas 14 pertuduhan di bawah Akta Senjata, pada Isnin dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dikenakan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, kerana memiliki tiga senapang angin secara tidak sah di Ranau empat tahun lalu.

Elbino Djusni mengaku bersalah di hadapan Hakim Christopher Chin kepada tuduhan pindaan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Elbino mengaku melakukan kesalahan itu pada jam 2.30 pagi, 6 Ogos 2019 di sebuah rumah di Kg Kinarotuan.

Pertuduhan pindaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sekurang-kurangnya enam sabitan, jika sabit kesalahan, dikemukakan oleh pihak pendakwaan pada Isnin, yang pada awalnya ditetapkan untuk perbicaraan pertuduhan asal Elbino iaitu mengedar senjata api tersebut.

Pertuduhan asal mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 membawa hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati, dan sekurang-kurangnya enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Dalam membuat keputusan itu, Chin berkata: “Kepentingan awam dan keperluan untuk hukuman berbentuk pencegahan adalah penting kerana undang-undang ketat berhubung senjata api di Malaysia bertujuan untuk melindungi orang ramai supaya kita tidak merosot ke tahap seperti di negara lain di mana pemilikan senjata api adalah liberal dan telah mengakibatkan pembunuhan keterlaluan dan tidak wajar.

“Apa yang membayangi masyarakat dengan undang-undang senjata api liberal adalah, terdapat risiko sebenar untuk ketenteraman awam dan kedaulatan undang-undang runtuh dan sebaliknya ditadbir secara kekerasan,” katanya.

Hakim mengambil maklum keadaan kes sekarang di mana Elbino merupakan pesalah kali pertama, telah mengaku bersalah, dan telah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret Ranau berhubung pertuduhan membabitkan perkara sama seperti kes Isnin.

Elbino diperintah menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap pada 6 Ogos 2019 dan berjalan serentak dengan hukuman penjara sekarang.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Afiq Agoes ketika menyampaikan fakta kes, memberitahu mahkamah bahawa pada hari tersebut, sepasukan polis menyerbu rumah itu dan menemui Elbino di salah sebuah bilik di tingkat atas rumah tersebut.

Polis memeriksa bilik itu dan menemui sejumlah peluru dan senjata api di dalamnya, mahkamah diberitahu.

Polis turut menemui beberapa senapang buatan sendiri (Bakakuk), senapang angin, guli serta pelbagai jenis alatan tangan dipercayai digunakan untuk pembuatan senjata api buatan sendiri di sebuah stor di belakang rumah itu, selepas dibawa oleh Elbino, kata pihak pendakwaan.

Mahkamah mendengar bahawa semua barang rampasan telah dihantar ke Bahagian Senjata Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Ibu Pejabat Polis di sini untuk ujian, dan ketiga-tiga senapang angin yang dinyatakan dalam pertuduhan itu didapati berfungsi dengan baik.

Peguam Kimberly Ye, yang mewakili Elbino bersama peguam Chen Wen Jye, memohon hukuman penjara lebih rendah selama lima tahun kerana dia pesalah kali pertama dan menyesali tindakannya, serta mengaku bersalah pada peringkat awal sebaik pertuduhan pindaan dibacakan kepadanya.

Peguam juga memohon hukuman itu berjalan dari tarikh dia ditangkap pada 8 Ogos 2019 dan serentak dengan hukuman penjara sekarang, yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Ranau selepas dia mengaku bersalah seawal mungkin kepada 14 pertuduhan - 10 pertuduhan mengikut Akta Senjata 1960 dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 36 Akta yang sama.

Pihak pendakwaan memohon agar hukuman setimpal dijatuhkan atas sebab, antara lain, bahawa ia satu kesalahan serius dan Elbino telah didakwa dengan 15 pertuduhan berbeza.

Mahkamah diberitahu bahawa 14 daripada pertuduhan itu telah dibicarakan di Mahkamah Majistret Ranau pada 25 Jan tahun ini di mana Elbino dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi setiap 10 pertuduhan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata, dan penjara satu tahun bagi setiap satu daripada empat pertuduhan mengikut Seksyen 36 Akta sama, yang kesemuanya diperintahkan berjalan serentak mulai tarikh dia ditangkap.

Sementara itu, bapa Elbino, Djusni Bonggo, yang didakwa mengedar senjata api dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan itu.

Chin membuat perintah itu terhadap Djusni selepas pihak pendakwaan memohon agar Djusni DNAA.

Pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa surat representasi yang dihantar oleh peguam bela Djusni telah diterima dan ia menyebabkan pertuduhan terhadapnya ditarik balik.

Djusni, 65, seorang petani, didakwa mengedar empat bakakuk (senjapang buatan sendiri) pada jam 2.30 pagi 6 Ogos 2019 di sebuah rumah di Kg Kinarotuan, Ranau.

Tertuduh pada 29 Ogos tahun lepas meminta dibicarakan terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan kes pada mulanya ditetapkan untuk perbicaraan pada Isnin.

Mahkamah memerintahkan wang jaminan Djusni, yang di bawah ikat jamin mahkamah, dikembalikan.

Ye dan Chen juga mewakili Djusni.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.