Mekanisme cukai jalan kenderaan diesel lebih seimbang, adil diteliti - MoT

LocalPolitics
30 Apr 2026 • 12:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Mekanisme cukai jalan kenderaan diesel lebih seimbang, adil diteliti - MoT
Anthony

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Kerajaan sedang meneliti pendekatan paling sesuai bagi memastikan pelaksanaan mekanisme cukai jalan bagi kenderaan diesel dilaksanakan secara adil dan seimbang kepada pengguna.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, setakat ini, kajian terperinci masih dijalankan oleh kementeriannya, termasuk menilai kesan mekanisme tersebut dalam usaha mengurangkan beban pemilik kenderaan diesel di negara ini.

"Ini kerana bukan semua kereta diesel dapat subsidi. Ada juga sebahagian yang dapat manfaat itu melalui harga bersasar subsidi.

"Jadi kita perlu buat pengimbangan bagi melihat bagaimana inisiatif itu dapat membantu mereka yang tidak dapat subsidi.

"Pada masa sama, apabila cukai dikurangkan, ia juga memberi kesan kepada pengurangan hasil untuk kerajaan. Itu semua kita perlu membuat pengimbangan terlebih dahulu sebelum keputusan muktamad diputuskan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan ucapan di Forum Pembaca China-Malaysia Mengenai Naskah Edisi Bahasa Inggeris Xi Jinping: 'The Governance of China' (Jilid Kelima) di ibu kota pada Khamis.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul dan Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Sebelum ini, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menurunkan kadar cukai jalan bagi kenderaan yang menggunakan diesel dalam tempoh terdekat sebagai langkah mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga bahan api tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah meminta Kementerian Pengangkutan untuk mencari mekanisme bersesuaian bagi melaksanakan pengurangan itu dengan mengambil kira kesan kenaikan harga diesel terhadap pengguna, khususnya dalam sektor yang masih bergantung kepada kenderaan diesel.

Ujar Anthony, kementerian turut mengambil maklum mandat yang diberikan Perdana Menteri berhubung pelaksanaan mekanisme tersebut dan pengumuman dijangka akan dibuat dalam masa terdekat.

"Kita akan membuat kajian tersebut dengan segera dan diharap ia akan diumumkan dalam masa terdekat," ujarnya.