
PUTRAJAYA – Blok ASEAN dilihat perlu lebih serius dalam menangani isu jerebu rentas sempadan dengan mengambil pendekatan menambah baik mekanisme sedia ada dalam mengatasi masalah itu yang turut menjejaskan kesihatan awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam konteks ini, terdapat ruang penambahbaikan dalam menangani masalah itu dan ia perlu dilihat secara serius oleh barisan menteri ASEAN.
“Masih ada ruang untuk penambahbaikan. Saya fikir menteri-menteri ASEAN perlu melihat perkara ini dengan serius kerana ia menjejaskan kehidupan, khususnya kanak-kanak dan bayi.
“Dan kita telah melihat keadaan di Serian, ia sememangnya sangat membimbangkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di sini, hari ini.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan penamatan pengisytiharan darurat bagi seluruh bahagian Serian, Sarawak yang diisytiharkan sebelum susulan keadaan jerebu.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, perkenan tersebut dibuat setelah mengambil kira nasihat Perdana Menteri dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Katanya, ia turut melibatkan laporan daripada agensi berkaitan yang menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian tidak lagi berada di paras bahaya. – KOSMO! ONLINE
The post Mekanisme sedia ada ASEAN tangani jerebu perlu ditambah baik appeared first on Kosmo Digital.





