
DALAM dunia yang semakin saling berkait, kemenjadian mahasiswa tidak lagi boleh diukur berdasarkan kecemerlangan akademik atau penglibatan dalam aktiviti kampus semata-mata.
Graduan masa kini perlu memiliki pemikiran global, keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan antarabangsa serta kesediaan berinteraksi merentasi budaya dan sempadan.
Mereka bukan sahaja perlu menguasai ilmu, malah mempunyai nilai kemanusiaan sejagat, kemahiran komunikasi antara budaya dan kefahaman mendalam terhadap isu global yang mencorakkan masa depan dunia.
Keperluan melahirkan mahasiswa bertaraf global menjadi agenda strategik negara. Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), perubahan iklim serta ketidaktentuan ekonomi menuntut lahirnya generasi yang mampu berfikir secara kritis, bertindak secara inovatif dan memimpin dalam persekitaran yang sentiasa berubah.
Atas sebab itu, kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelbagai organisasi belia memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh pengantarabangsaan pendidikan tinggi.
Dalam konteks ini, kemenjadian mahasiswa merujuk kepada pembentukan insan yang seimbang dari aspek intelek, emosi, rohani dan sosial. Namun, dimensi tersebut kini diperluas dengan penekanan terhadap keupayaan bersaing di peringkat antarabangsa.
Mahasiswa perlu menguasai lebih daripada satu bahasa, memahami kepelbagaian budaya, menghormati perbezaan dan mampu membawa imej positif negara ketika berinteraksi dengan masyarakat dunia.
Pada masa sama, mahasiswa juga perlu menghayati peranan sebagai warganegara global yang peka terhadap isu kemanusiaan, keamanan, keadilan sosial, kemiskinan serta kelestarian alam sekitar.
Kesedaran ini membentuk generasi yang bukan sahaja mementingkan kepentingan diri atau negara, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat sejagat. Nilai tersebut selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang mengangkat prinsip ihsan, kemampanan dan keterangkuman dalam pembangunan negara.
IPT memainkan peranan penting sebagai pemangkin kepada usaha melahirkan mahasiswa bertaraf global. Universiti bukan sekadar tempat menimba ilmu, bahkan menjadi medan membentuk kepimpinan, sahsiah dan daya saing antarabangsa.
Melalui program mobiliti pelajar, pertukaran akademik, penyelidikan bersama serta kerjasama strategik dengan universiti luar negara, mahasiswa memperoleh pengalaman yang memperluas perspektif serta meningkatkan keyakinan untuk berdepan cabaran global.
Antara inisiatif yang menyokong matlamat tersebut ialah Program iFuture anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Program ini memberi penekanan kepada pembangunan pemikiran global, komunikasi rentas budaya, kreativiti dan penyelesaian masalah.
Dalam masa sama, universiti terus memperkukuh kerjasama melalui memorandum persefahaman dan perjanjian dengan institusi serta industri antarabangsa bagi membuka lebih banyak peluang pembelajaran dan latihan di luar negara.
Selain itu, kandungan kokurikulum turut diperkaya dengan elemen antarabangsa seperti debat global, simulasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) projek penyelidikan bersama dan program khidmat masyarakat rentas negara.
Pendedahan sedemikian membolehkan mahasiswa memahami realiti masyarakat antarabangsa, membina rangkaian profesional dan mengembangkan kemahiran insaniah yang semakin diperlukan dalam pasaran pekerjaan global.
Usaha membentuk mahasiswa bertaraf global turut memerlukan pembangunan kepimpinan yang berasaskan nilai. Pemimpin masa depan bukan sekadar memiliki kepakaran teknikal, malah mampu mempengaruhi masyarakat majmuk melalui integriti, empati dan kebijaksanaan membuat keputusan.
Sehubungan itu, pendidikan tinggi kini memberi penekanan terhadap pembangunan karakter yang seiring dengan peningkatan kompetensi profesional.
KPT turut menggalakkan penguasaan literasi global agar mahasiswa memahami perkembangan geopolitik, dasar antarabangsa, ekonomi digital dan teknologi disruptif yang membentuk landskap dunia.
Bagi memastikan peluang tersebut dapat dinikmati secara lebih inklusif, pelbagai universiti memperkenalkan program seperti Pengalaman Pembelajaran Global dan mobiliti maya. Pendekatan ini membolehkan mahasiswa mengikuti pembelajaran, perbincangan dan kolaborasi antarabangsa melalui platform digital tanpa perlu berada di luar negara.
Penyertaan mahasiswa dalam program seperti Program Pertukaran Belia ASEAN, Perhimpunan Belia AFS dan Program Sukarelawan Global AIESEC turut membuktikan kemampuan belia Malaysia bersaing di pentas antarabangsa.
Melalui penglibatan dalam forum, pertandingan inovasi dan projek sukarelawan, mereka bukan sahaja mengembangkan potensi diri, malah memperkenalkan budaya, nilai perpaduan dan identiti Malaysia kepada masyarakat dunia.
Pengalaman tersebut membentuk keyakinan, memperluas jaringan antarabangsa serta meningkatkan keupayaan mereka memimpin dalam persekitaran global yang semakin mencabar.-UTUSAN
Profesor Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq dan Dr. Anim Zalina Azizan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
The post Melahirkan mahasiswa berdaya global appeared first on Utusan Malaysia.
