Melaka belum wajib pemakaian pelitup muka

LocalPolitics
16 Jan 2023 • 2:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Melaka belum mewajibkan syarat pemakaian semula pelitup muka di tempat awam. (Gambar hiasan) - Foto Bernama

MELAKA - Melaka belum mewajibkan syarat pemakaian semula pelitup muka di tempat awam.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ia berikutan kes Covid-19 yang direkodkan di negeri ini menunjukkan penurunan sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, daripada 250 kes yang dilaporkan pada minggu pertama bulan ini menurun kepada 217 kes pada minggu lalu dan terbaru terus berkurangan menjadi 180 kes.

"Kes turun hasil daripada kesedaran rakyat yang mahu membendung pandemik Covid-19 selepas kita cadangkan untuk mewajibkan semula pemakaian pelitup muka jika kes baharu terus meningkat.

"Namun kita menggalakkan orang ramai terus mengamalkan pemakaian pelitup muka di tempat tertutup mahupun terbuka," katanya ketika ditemui pemberita di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, pada Isnin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, bagaimanapun pihaknya tidak teragak-agak untuk mewajibkan peraturan itu sekiranya kes baharu melepasi paras bahaya.

"Pemantauan masih diteruskan dalam tempoh dua minggu ini, sekiranya kes melepasi paras bahaya kita akan mula wajibkan pakai pelitup muka," katanya.

Awal bulan ini media melaporkan Melaka akan mewajibkan semula pemakaian pelitup muka di tempat awam seluruh negeri jika bilangan kes Covid-19 meningkat.