
MELAKA: Melaka memperuntukkan RM1.3 juta bantuan kewangan bagi kerja-kerja pembaikan, penyelenggaraan dan kerja-kerja kecemasan Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) di bawah Inisiatif Belanjawan 2022 negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali (gambar) berkata sebanyak RM591,750 diberikan kepada 16 pemohon bagi fasa pertama bantuan itu, manakala selebihnya akan diberikan kepada pemohon pada fasa kedua mengikut syarat-syarat ditetapkan.
“Setiap permohonan diteliti sebaiknya selaras dengan syarat-syarat dan juga garis panduan sedia ada supaya bantuan kewangan ini dapat mencapai hasrat dan objektif untuk disalurkan kepada rumah ibadat untuk masyarakat bukan Islam.
“Keputusan yang telah dibuat oleh Mesyuarat Jawatankuasa RISI tersebut mengambil kira syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Garis Panduan RISI Melaka untuk disesuaikan dengan suasana dan sensitiviti rakyat di negeri ini,“ katanya kepada pemberita di Ayer Keroh di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Bagi Pembaikan Penyelenggaraan dan Kerja-Kerja Kecemasan RISI di Melaka.
Turut hadir Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam dan Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem.
Sulaiman berkata terdapat 428 persatuan penganut agama yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Negeri Melaka, namun semakan rekod mendapati hanya 168 buah RISI sahaja yang berdaftar dengan kerajaan negeri.
Beliau berkata pihaknya melihat adalah penting bagi setiap RISI di Melaka didaftarkan di bawah kerajaan negeri bagi memudahkan pihak berkuasa melaksanakan pemantauan, mengelakkan bantahan daripada penduduk setempat dan menjaga keharmonian serta keamanan antara kaum.
“Sudah pasti, banyak kelebihan sekiranya rumah-rumah ibadat bukan Islam ini didaftarkan dengan kerajaan negeri kerana sekiranya terdapat peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan, RISI yang didaftarkan berpeluang untuk mendapatkan peruntukan kewangan tersebut,“ katanya.-Bernama

