Melaka rekod 1,354 kes sampah haram, kubur turut jadi ‘port’

LocalEnvironment
16 Sep 2026 • 12:05 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Melaka rekod 1,354 kes sampah haram, kubur turut jadi ‘port’

JASIN – Sebanyak 1,354 kes pembuangan sampah haram direkodkan di negeri ini dalam tempoh Januari hingga September tahun ini, termasuk beberapa lokasi berhampiran kawasan perkuburan.

Pengarah SWCorp Melaka, Nor Zaki Md.Nor berkata, sebanyak 104 lokasi pembuangan sampah haram dikenal pasti di tiga daerah dengan 98 daripadanya telah ditutup.

Katanya, enam lokasi bagaimanapun masih aktif dan berlaku secara berulang termasuk kawasan Perindustrian Bukit Rambai, Taman Teknologi Cheng, Jalan Persisiran Pantai, Kota Laksamana dan Jalan Parit Daka, Sungai Rambai.

“Daripada keseluruhan kes yang direkodkan, sebanyak 65 kes sudah diselesaikan di mahkamah. Dua kes turut membawa kepada hukuman termasuk Perintah Kehadiran Wajib selama tiga bulan, dua jam sehari serta denda RM10,000,” katanya selepas pelaksanaan Program Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di Dataran Jasin, di sini, semalam.

Program itu membabitkan lapan individu berusia antara 23 hingga 40 tahun yang menjalankan kerja pembersihan di kawasan berkenaan.

Nor Zaki berkata, pembuangan sampah haram turut dikesan berlaku di beberapa lokasi lain termasuk kawasan berhampiran tanah perkuburan, namun jumlahnya masih kecil dan terkawal.

Ujarnya lagi, pihak industri, komersial dan institusi (ICI) turut diingatkan supaya tidak melantik kontraktor tidak sah bagi urusan pelupusan sisa pepejal.

“Pembuangan sisa pukal antara perkara yang kini diberi perhatian dalam usaha membanteras kewujudan lokasi sampah haram di negeri ini. Penguatkuasaan dan pemantauan akan terus dilaksanakan, khususnya di lokasi yang dikenal pasti aktif serta berlaku secara berulang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Melaka rekod 1,354 kes sampah haram, kubur turut jadi ‘port’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved