Melayu, Cina dan India duduk semeja di kedai Ah Meng

LocalFood
6 Aug 2026 • 11:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Melayu, Cina dan India duduk semeja di kedai Ah Meng

KUALA PILAH – Di sebalik kemunculan kafe moden, sebuah kedai kopi tradisional yang telah beroperasi lebih 70 tahun lalu terus menjadi pilihan masyarakat berbilang kaum untuk menikmati sarapan sambil mengeratkan hubungan.

Kedai Kopi Ah Meng yang diasaskan selepas Perang Dunia Kedua bukan sahaja terkenal dengan menu tradisinya, malah menjadi lokasi pertemuan penduduk tempatan sejak beberapa generasi.

Generasi keempat pengusahanya, Tan Dao Qin, 26, berkata, beliau mengambil alih legasi keluarga selepas menamatkan pengajian Ijazah Perhubungan Awam di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) kerana mahu memastikan kesinambungan warisan tersebut.

“Saya perasan perkara pa­ling menarik di kedai ini ialah orang Melayu, Cina dan India boleh duduk semeja, berbual dan menikmati makanan bersama. Suasana seperti ini semakin sukar ditemui.

“Hampir 90 peratus pelanggan kedai itu terdiri daripada orang Melayu, manakala selebihnya masyarakat Cina dan India.

“Kami ada banyak pilihan minuman dan makanan, namun pelanggan paling gemar minum kopi bersama nasi lemak, mi kari atau roti bakar pada waktu pagi,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Parit, di sini, pagi semalam.

Bagi pelanggan tetap, Mohd Zin Abdullah, 49, kedai itu mempunyai keistimewaan tersendiri sehingga menjadi lokasi wajib dikunjungi sejak bertahun-tahun lalu.

“Sudah lama saya datang ke sini. Makanan dan kopinya memang istimewa. Selain itu, kedai ini menjadi salah satu tarikan di Kuala Pilah kerana menghimpunkan pelanggan daripada pelbagai latar belakang,” katanya.

Sementara itu, pesara Alam Flora, Mohd Raymie Tahir, 56, berkata, Kedai Kopi Ah Meng merupakan hot spot’ penduduk kampung sejak dia masih kecil.

“Dulu kalau nak jumpa kawan-kawan atau orang lama, memang datang sini. Sampai sekarang suasana itu masih kekal. Saya datang dua atau tiga kali seminggu. Kopinya memang sedap, begitu juga roti bakar, mi kari dan cakoi. Suasana tradisional inilah yang membuatkan saya terus datang,” katanya.

Menurutnya, warisan kedai kopi tradisional seperti Ah Meng perlu dikekalkan kerana me­nyimpan sejarah dan identiti Kuala Pilah.

“Harap kedai seperti ini terus dipelihara. Bukan sekadar tempat makan, tetapi menjadi sebahagian daripada sejarah dan kenangan masyarakat Kuala Pilah,” katanya.

The post Melayu, Cina dan India duduk semeja di kedai Ah Meng appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved