KOTA KINABALU - Kira-kira tujuh bulan berlalu sejak pemergian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, namun kesedihan masih dirasai oleh keluarga, terutama ibunya, Noraidah Lamat.
Menjelang Aidilfitri, ketika orang lain sibuk membuat persiapan, Noraidah berkongsi luahan hatinya di Facebook mengenai baju raya yang dibeli khas untuk Allahyarhamah Zara Qairina sejak Jun tahun lalu.
"Di saat orang lain sibuk membeli baju raya, semalam tergerak hati nak tengok semula baju raya Mama dan Zara yang dah siap beli sejak Jun 2025 khas untuk raya 2026, tapi selama ini saya simpan dalam 'tong baju'.
"Memang kelaziman setiap kali raya, baju raya Zara minimum mesti ada lima pasang dan saya akan beli lebih awal sebagai persediaan. Melihat bajunya empat pasang ini, dada jadi sebak," luah Noraidah.
Sebagai simbol jiwa yang berduka, tahun ini Noraidah memilih tema warna hitam bagi baju raya mereka, menandakan kehilangan yang dirasai.
"ALLAH tak izin Mama beraya bersama Zara. Sebagai simbol jiwa yang berduka, tahun ini saya memilih tema hitam.
"Baju rayanya telah tersedia, sedang orangnya sudah pergi menghadap ilahi," katanya.
Dalam hantaran sama, beliau memaklumkan tidak pernah putus mendoakan anaknya selain mengamalkan bacaan Surah Yasin dan solat hajat setiap hari.
Beliau turut memohon agar orang ramai mendoakan supaya proses inkues yang dijadualkan bermula 31 Mac ini berjalan lancar.
"Semoga keadilan akan ditegakkan demi satu kebenaran," tambah Noraidah.
Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sebuah sekolah menengah agama di Papar pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Kematian pelajar itu mencetuskan pelbagai reaksi, terutama apabila ia dikaitkan dengan kes buli di sekolah tersebut.
Peristiwa itu akhirnya membawa kepada prosiding inkues di Mahkamah Koroner bagi mencari punca kematian, serta pertuduhan di Mahkamah Kanak-Kanak yang melibatkan lima remaja lain.


