Memahami kitaran ekonomi

LocalBusiness & Finance
16 Mar 2026 • 10:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Jika diperhatikan, hampir setiap sepuluh tahun akan ada berlakunya kemelesetan ekonomi. Gambar hiasan

SEMENJAK meletusnya peperangan di Iran, harga minyak mentah global dilihat melambung tinggi. Harga minyak mentah Brent mencecah paras AS$118 setong pada awal minggu lepas dan kini ia sedang berlegar sekitar AS$103.14 setong.

Kebimbangan komuniti global pada ketika ini adalah bekalan minyak dan gas dari Timur Tengah terutamanya bekalan komoditi tersebut perlu melalui Selat Hormuz yang sempit dan sangat berhampiran dengan Iran.

Laluan tersebut mewakili sekitar satu per lima daripada bekalan minyak mentah global. Pemerintah Iran pula dilihat sedang menggunakan kelebihan geografi mereka ini untuk menyebabkan kesan perang ini akan memberi impak lebih besar kepada ekonomi global.

Agensi global International Energy Agency (IEA) telah memutuskan untuk melepas stok petroleum strategik di kalangan 32 negara yang menganggotai agensi tersebut sebanyak 400 juta tong.

Paras ini merupakan tertinggi dalam sejarah dan sekali gus memberi gambaran bahawa perang bukan sahaja akan berpanjangan tetapi bakal memberi kesan besar kepada ekonomi global.

Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyarankan agar rakyat Malaysia untuk melaksanakan amalan berjimat cermat susulan risiko perang di Iran yang dijangka berpanjangan.

Selain itu, kenaikan harga minyak mentah dunia juga memberi kesan kepada kenaikan minyak petrol di Malaysia. Sebagai contoh harga pasaran bagi minyak petrol RON95, RON97 dan Diesel telah meningkat dari awal tahun sehingga kini iaitu sebanyak 27.7 peratus, 21.8 peratus dan 33.3 peratus kepada RM3.27 seliter, RM3.85 seliter dan RM3.92 seliter.

Berdasarkan harga semasa, subsidi bahan api bagi RON95 dan Diesel dikatakan akan naik sebanyak RM2 bilion dan RM1.2 bilion sebulan. Ini bererti subsidi bagi RON95 dan Diesel dianggarkan sekitar RM24.4 bilion dan RM14.2 bilion bagi tahun 2026.

Sebagai perbandingan, perbelanjaan subsidi bagi RON95 dan Diesel pada tahun 2024 adalah RM18.3 bilion dan RM13.5 bilion pada ketika harga purata minyak mentah Brent berada di paras AS$79.9 setong.

Buat masa ini, kerajaan masih berpendirian bahawa subsidi sedia ada ini akan dikekalkan. Namun, hakikatnya perkara ini amat bergantung kepada tempoh peperangan di Iran dan juga sejauh mana kenaikan harga minyak mentah dan gas akan terus berlaku.

Kesemua persoalan ini adalah di luar kawalan kerajaan Malaysia. Berdasarkan perkara ini, sentimen dalam kalangan pelabur, peniaga dan isi rumah di peringkat global dijangka akan terkesan.

Jika berterusan, pertumbuhan ekonomi global boleh menjadi lembap dan memberi kesan kepada ekonomi Malaysia yang sememangnya terbuka kepada ekonomi luaran.

Meskipun demikian, negara kita telah pun melalui pelbagai kejutan ekonomi sehingga mengakibatkan kemelesetan ekonomi. Sebagai contoh, ekonomi negara Malaysia dilihat menguncup 5.5 peratus pada tahun 2020 akibat penularan Covid-19.

Sebelum itu, ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 1.5 peratus pada tahun 2009 berikutan krisis Sub Prima di AS. Manakala pada tahun 1998 pula, Krisis Ekonomi Asia telah mengakibatkan penguncupan KDNK negara sebanyak 7.4 peratus.

Jika diperhatikan, hampir setiap sepuluh tahun akan ada berlakunya kemelesetan ekonomi. Perkara ini amat bertepatan dengan keadaan yang digambarkan dalam Surah Yusuf ayat 47, 48 dan 49 yang mana setiap tujuh tahun akan berlaku perubahan fasa pertumbuhan tanaman gandum dan bagaimana ayat itu menyarankan tindakan seperti tabiat menyimpan untuk menghadapi waktu yang sukar.

Oleh yang demikian, rakyat disaran untuk mengikuti perkembangan semasa melalui saluran yang dipercayai. Yang penting sekali, jangan panik dan sentiasa bertindak rasional dalam apa jua keputusan.

* Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad.

 

 

View Original Article