Memalukan! Sultan Pahang murka tanah & hutan simpan diceroboh, titah noktahkan kemelut empat dekad

LocalPolitics
18 Apr 2025 • 9:04 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Sultan Pahang murka apabila s 14,494.908 hektar tanah kerajaan negeri didapati diceroboh dan diusahakan secara haram dengan tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi.

Baginda, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah lebih malang lagi kira-kira 5,997.09 hektar hutan simpanan kekal (HSK) juga diceroboh, kononnya atas nama pertanian, tetapi hakikatnya perompakan terbuka terhadap harta negeri.

“Masalah ini bukan baru bermula semalam, ia telah berakar sejak lebih empat dekad yang lepas. Ia berlaku tanpa pengetahuan beta namun bukan niat beta untuk mengungkit kisah lama atau menambahkan kekusutan.
“Kita tidak mahu terus dibelenggu bayang-bayang masa silam. Sebaliknya, kita berhasrat untuk menoktahi kemelut pencerobohan tanah secara haram ini. Biarlah kisah lalu itu menjadi pengajaran,” titah baginda.

image is not available

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Turut berangkat, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sultan Pahang murka

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa dukacita terhadap tindakan segelintir pihak yang menyokong perbuatan menceroboh tanah secara haram, termasuk individu yang sepatutnya menjadi contoh dan pembela kepada undang-undang.

“Cukup memalukan, tindakan sedemikian bukan sahaja mencemarkan imej institusi bahkan boleh menjejaskan kedaulatan pentadbiran negeri.
“Janganlah kerana kepentingan politik sempit, hukum diketepikan dan perbuatan yang salah dimuliakan,” titah baginda.

image is not available

Baginda turut mengumumkan bahawa tiada sebarang kelulusan baharu akan diberikan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) terhadap mana-mana permohonan tanah yang telah diceroboh secara haram.

Titah baginda, pendirian tersebut tidak boleh dikompromi demi menjunjung kedaulatan undang-undang dan menjaga amanah terhadap negeri serta rakyat.

“Tambahan pula keadaan hari ini sangat membimbangkan apabila ada yang sengaja meniupkan api sentimen demi meraih simpati, seolah-olah pencerobohan ini satu bentuk perjuangan.
“Beta ingin mengingatkan, perjuangan yang bersandarkan kezaliman terhadap tanah hak milik negeri tidak akan pernah sesekali mendapat restu beta,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut meluahkan kebimbangan terhadap ketirisan hasil bumi negeri yang berlaku secara meluas, termasuk dalam bentuk batuan, pasir, bijih, emas, bauksit serta unsur nadir bumi (REE) yang dikeluarkan tanpa kelulusan sah.

Sehubungan itu, baginda menyeru agar pentadbiran negeri menggandakan usaha bagi membanteras segala bentuk ketirisan dan penyelewengan sumber asli.

“Harta negeri ini adalah amanah yang wajib dijaga,” titah baginda.

image is not available

Namun begitu, baginda menzahirkan rasa bangga apabila Tanah Rizab Melayu menunjukkan peningkatan iaitu daripada 218,326 hektar pada tahun 1955 kepada 444,074 hektar pada masa kini merangkumi 12.34 peratus daripada keseluruhan keluasan negeri Pahang.