‘Memang ada pilihan untuk kekal, tapi saya pilih letak jawatan’ : Nik Nazmi

LocalPolitics
17 Jun 2025 • 1:04 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad kekal dengan hasrat dan keputusannya untuk melepas jawatan dan meninggalkan kementerian itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata, keputusan dibuatnya itu atas perkiraan yang lebih besar iaitu demi mandat parti dan reformasi lebih luas.

“Minggu lepas Puan Shareen Abdul Ghani, Pengerusi salah satu agensi Kementerian, MGTC (Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia) berkunjung ke pejabat saya di NRES. Saya berada di pejabat untuk berkemas.

“Selepas kami duduk di sofa Pejabat Menteri, beliau bertanya:

"Ada peluang lagi kami yakinkan YB untuk ubah fikiran?" Saya cuma tersenyum dan memandang ke sekeliling pejabat.

“Saya menyatakan bukan mudah untuk meninggalkan NRES. Selepas dua tahun, saya anggap pasukan di NRES, jabatan dan agensi dah mencapai tahap 'dream team' - dengan komitmen, kebolehan dan kewibawaan yang luar biasa.

“Tetapi keputusan saya buat ini adalah untuk perkiraan yang lebih besar. Mandat parti adalah penting untuk reformasi luas.

“Memang saya ada pilihan untuk kekal, tapi pilihan saya adalah untuk letak jawatan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut menggunakan anologi Jurgen Klopp, ketika mengumumkan peletakkan jawatan sebagai pengurus kelab bola sepak Liverpool, yang disifatkan Nik Nazmi menggambarkan perasaan beliau.

“Ketika Jurgen Klopp mengumumkan peletakkan jawatannya sebagai Pengurus Liverpool dia menyebut:

"I love absolutely everything about this club… I love the staff… But that I still take this decision shows you that I am convinced it is the one I have to take"

“Itulah perasaan saya,” katanya.

Selain itu Nik Nazmi turut berharap MGTC terus menerajui implementasi agenda perubahan iklim ke arah matlamat Sifar Bersih 2050.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan harapan agar Nik Nazmi dapat meneruskan tugas sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Anwar berkata, beliau memberikan masa dan peluang untuk Ahli Parlimen Setiawangsa itu berfikir untuk kekal memikul jawatan berkenaan.

Beliau turut mengucapkan selamat berjaya kepada Datuk Seri Rafizi Ramli yang berkhidmat dengan sangat baik sebagai menteri ekonomi.

Terdahulu, Perdana Menteri sebelum ini memberi masa kepada kedua-dua menteri yang meletakkan jawatan sebelum ini, untuk memikirkan secara masak-masak sebelum melepaskan kedudukan mereka dalam Kabinet.

Anwar berkata, jika boleh beliau mahu Rafizi dan Nik Nazmi menyertai semula Kabinetnya.

Sebelum ini, Rafizi dan Nik Nazmi menghantar surat peletakan jawatan susulan kekalahan mereka pada pemilihan parti yang berlangsung bulan lalu. - 17 Jun, 2025