‘Memang gementar, aura Zul sangat kuat’

Entertainment
17 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Memang gementar, aura Zul sangat kuat’

SEMPENA meraikan ulang tahun pertama, platform penstriman (OTT) UTV menghadiahkan sebuah karya istimewa, Takdirnya Cinta yang buat pertama kali menyatukan dua pelakon hebat iaitu Zul Ariffin dan Siti Khadijah.

Hampir 80 peratus penggambaran dijalankan di Istanbul, Turki, Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Hasan berkata, strategi menggabungkan dua pelakon tersebut ternyata berjaya memandangkan kedua-duanya memberi kerjasama dan keserasian yang baik.

“Sejak awal, kami memang mahu Zul menjadi sebahagian daripada karya UTV. Kami merasakan naskhah ini peluang terbaik untuk menggandingkan Zul dengan Siti memandangkan mereka belum pernah dipertemukan sebagai pasangan dalam mana-mana naskhah.

“Sepanjang penggambaran, saya dapat rasakan keserasian yang wujud dan kedua-duanya mempunyai kekuatan tersendiri selain berjaya memberi lakonan hebat dalam Takdirnya Cinta.

“Tidak mustahil akan ada Takdirnya Cinta 2 sekiranya karya ini menerima sambutan hangat,” katanya.

Menurut Adzliana, pemilihan Istanbul sebagai antara lokasi utama penggambaran pula dibuat bagi memberikan identiti tersendiri kepada naskhah tersebut.

“Istanbul mempunyai sisi romantik yang cukup kuat, tetapi dalam masa sama masih mempunyai elemen dan suasana Islamik yang dekat dengan kita.

“Seni bina, budaya dan pembangunan kotanya memberikan visual serta suasana yang sangat menarik untuk perjalanan kisah cinta ini.

“Kami mahu penonton bukan sahaja mengikuti cerita Sofea (lakonan Siti Khadijah), tetapi turut merasai perjalanan emosi watak menerusi suasana dan keindahan Istanbul,” katanya.

Adzliana menambah, Takdirnya Cinta juga cukup signifikan kerana hadir ketika UTV meraikan ulang tahun pertama dalam dunia OTT.

“Perjalanan selama setahun ini sangat bermakna. Dalam tempoh ini, UTV berjaya menghasilkan pelbagai karya yang mendapat perhatian dan trending dalam kalangan penonton.

“Takdirnya Cinta menjadi antara hadiah istimewa kami sempena perjalanan setahun UTV dan kami berharap dapat membuka lembaran kepada lebih banyak karya menarik selepas ini,” katanya lagi.

Cinta yang matang

Sementara itu, pengarahnya, Izuan Mokhtar mengakui teruja mengarahkan Zul dan Siti dalam Takdirnya Cinta.

“Zul pernah beritahu sebelum ini mereka tidak pernah mendapat tawaran untuk dipasangkan bersama. Nak dapatkan Zul dan Siti pun susah kerana jadual mereka agak padat. Apabila peluang itu muncul, saya bebas hasilkan sebuah yang sesuai dengan kematangan mereka,” ujarnya.

Izuan berkata, Takdirnya Cinta juga sengaja dibentuk berbeza berbanding karya UTV terdahulu yang lebih menjurus kepada genre drama dan cinta.

“Takdirnya Cinta membawa percintaan lebih matang dan saya tidak mahu menghasilkan kisah cinta yang terlalu klise.

“Menariknya, perjalanan hubungan mereka dibina melalui emosi, dialog dan pandangan tanpa perlu bergantung kepada sentuhan fizikal antara dua watak utama,” ujarnya.

Tambah Izuan juga, cabaran terbesar dalam pembikinan adalah perlu berdepan cuaca sejuk sekitar 10 darjah Celcius sepanjang berada di Istanbul.

Impian

Bagi Siti pula, dia menerima tawaran Takdirnya Cinta kerana jalan cerita yang menarik dan berpeluang bergandingan dengan Zul.

Katanya, dia menganggap Zul sebagai seorang aktor yang mudah untuk bekerjasama dan hebat dalam melontarkan emosi dalam lakonan.

“Dia memang ada dalam ‘wishlist’ pelakon yang saya nak bekerjasama. Tidak mungkin nama Zul tak ada dalam senarai.

“Siapa yang tak nak berlakon dengan dia. Bila diberikan tawaran ini, saya memang tidak lepaskan peluang,” kongsinya.

Dalam masa sama, dia mengakui gementar setiap kali menjayakan babak bersama Zul.

“Memang gementar dan saya sebagai pelakon dapat rasakan aura dia sangat kuat.

“Lontaran dialog dia pun sangat semula jadi dan buatkan saya perlu berikan energi yang setara.

“Syukur kerjasama kami berjalan dengan baik dan sangat seronok dapat kerja seluruh produksi termasuk pelakon lain yang terlibat,” jelasnya.

Takdirnya Cinta mengisahkan Sofea yang melalui fasa kecewa dalam hubungan cinta, termasuk kehilangan tunangnya, akibat kemalangan.

Bagi merealisasikan amanat terakhir tunang tercinta, dia nekad terbang ke Istanbul bagi mencari abang tunangnya iaitu Mikail (Zul) di Istanbul.

Selain Zul dan Siti, karya yang mula menemui penonton pada 9 September lalu turut dibintangi oleh Fattah Amin.

The post ‘Memang gementar, aura Zul sangat kuat’ appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved