Memastikan akses sama rata kepada keadilan

LocalPolitics
27 Aug 2025 • 1:00 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata inisiatif Justice on Wheels (JoW) mencerminkan kesungguhan Kerajaan Madani memastikan akses kepada keadilan yang sama rata, khususnya bagi masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Berucap ketika merasmikan program itu di Dewan Sri Putatan, Selasa, beliau berkata klinik guaman bergerak yang dikendalikan Jabatan Bantuan Guaman (JBG) menggunakan van khas yang diubah suai bagi menyediakan khidmat guaman percuma, selaras dengan moto JBG “Yang jauh didekati, yang dekat disantuni.”“Keadilan mesti sampai kepada semua, bukan hanya mereka yang mampu membayar peguam atau tinggal di bandar. Melalui JoW, kita turun padang, menerangkan hak dan memberi nasihat percuma supaya tiada sesiapa yang tercicir,” katanya.

Azalina berkata, Rang Undang-Undang Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 yang baru dibentangkan bagi menggantikan Akta Bantuan Guaman 1971 akan memperluas perkhidmatan meliputi kes jenayah, sivil dan syariah, pengantaraan, akses digital serta sahabat guaman untuk kanak-kanak.

Katanya, RUU itu juga mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap golongan rentan, termasuk pekerja berpendapatan rendah dan pengguna, dengan memperkukuh bantuan guaman dalam kes pertikaian buruh dan tuntutan pengguna.

 “Tiada kanak-kanak seharusnya berdepan sistem keadilan sendirian. Di bawah undang-undang baharu, semua kanak-kanak yang terlibat dalam kes jenayah akan diberikan bantuan guaman secara automatik,” jelasnya.

Setakat ini, enam program JoW telah dilaksanakan di Sabah iaitu di Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Beaufort, Tuaran dan Putatan, dan dijangka diperluaskan ke seluruh negara melalui peruntukan Belanjawan 2023.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Ag Sahari, menyambut baik inisiatif itu yang disifatkannya sebagai usaha bermakna kerana membolehkan rakyat Sabah mendapatkan bantuan guaman tanpa beban kos tinggi.

“Banyak kes di Sabah memerlukan khidmat peguam, tetapi kosnya terlalu mahal untuk kebanyakan keluarga. Dengan adanya JoW, rakyat di Sabah dan Sarawak tidak ketinggalan kerana perkhidmatan ini turut meliputi negeri kita,” katanya.

Ahmad Sah turut menggesa penduduk Putatan memanfaatkan program itu yang membawa nasihat guaman terus ke tengah masyarakat melalui van bergerak yang dikendalikan pegawai JBG.

Bercakap kepada media, Azalina menekankan kepentingan meningkat-kan kesedaran awam mengenai hak undang-undang, dengan menegaskan undang-undang yang baik tidak bermakna tanpa kefahaman yang mencukupi.

“Undang-undang yang baik tidak ada makna jika rakyat tidak tahu hak mereka. Sebab itu JoW penting, ia menerangkan apa yang ada dan membantu rakyat memahami undang-undang,” katanya.

Beliau turut menggesa penggunaan lebih meluas kaedah penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) seperti pengantaraan dan timbang tara bagi mengurangkan kes tertunggak di mahkamah serta menawarkan penyelesaian lebih cepat dan kos rendah.

Ditanya mengenai cabaran baharu, beliau mengakui risiko semakin meningkat berkaitan kecerdasan buatan (AI) dalam proses perundangan, khususnya melibatkan bukti dan identiti.

“AI boleh kelihatan seperti anda, kedengaran seperti anda, tetapi ia bukan anda. Ini menimbulkan persoalan serius mengenai pembuktian dan kebolehterimaan di mahkamah,” katanya, menambah kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Digital untuk meneliti isu berkenaan.

Azalina menegaskan JoW adalah sebahagian daripada agenda reformasi kerajaan yang lebih luas untuk memastikan keadilan bukan sahaja dapat dicapai tetapi juga difahami oleh semua rakyat Malaysia.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman Datuk Norazmi Mohd Narawi, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Datuk Zamri Misman, Pengarah JBG Sabah Herlina Muse, Ketua Polis Daerah Penampang Supt Sammy Newton, Pegawai Daerah Putatan Masawi Salleh, Pengarah Jabatan Insolvensi Sabah Stephanie Sherron Abbie, Pegawai Pendidikan Daerah Penampang Rusmadi Ahmad serta Adun Petagas Datuk Awang Ahmad Sah.