
APABILA timbul kes rasuah, penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan dana awam, perkataan integriti pasti kembali menjadi tumpuan.
Namun, mengaitkan integriti hanya dengan rasuah merupakan satu kefahaman yang terlalu sempit. Hakikatnya, integriti ialah nilai yang jauh lebih luas. Ia mencerminkan kejujuran dalam membuat keputusan, keberanian mempertahankan kebenaran, kesetiaan kepada amanah serta keselarasan antara kata-kata dengan tindakan.
Nilai ini bukan sekadar menghalang seseorang daripada melakukan kesalahan, sebaliknya mendorongnya memilih perkara yang betul walaupun tiada siapa memerhati.
Hakikat tersebut menjadi inti pati Sesi Dialog Eksekutif Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) bertemakan Masyarakat Malaysia Madani Berintegriti. Dialog itu tidak sekadar menghuraikan maksud integriti, malah mengajak masyarakat menilai persoalan lebih besar seperti mampukah sebuah negara membina tamadun yang kukuh sekiranya pembinaan manusia tidak diberikan keutamaan?
Persoalan itu sangat berkait rapat dengan gagasan Malaysia Madani yang berpaksikan enam nilai utama, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
Keenam-enam nilai ini tidak akan membawa makna sekiranya tidak disokong budaya amanah dan akauntabiliti. Sebab itu, integriti bukan pelengkap kepada Malaysia Madani, sebaliknya menjadi syarat utama yang menentukan sama ada nilai tersebut benar-benar diterjemahkan dalam pentadbiran, institusi dan kehidupan masyarakat.
Sepanjang forum berlangsung, antara persoalan yang dibangkitkan ialah sama ada budaya integriti di negara ini benar-benar semakin kukuh atau pelanggaran terhadapnya hanya berubah mengikut perkembangan zaman.
Soalan ini wajar direnungkan kerana kemajuan teknologi tidak semestinya menghapuskan salah laku. Sebaliknya, sering menjadikan penyelewengan lebih tersusun dan sukar dikesan.
Jika dahulu penipuan dilakukan melalui dokumen fizikal tetapi hari ini boleh berlaku menerusi manipulasi data, identiti digital, transaksi rentas sempadan, kecerdasan buatan (AI) serta penyebaran maklumat palsu.
Bentuk penipuan dilihat berubah tetapi akar masalahnya tetap sama, iaitu kegagalan manusia mempertahankan nilai amanah.
Malaysia sememangnya menunjukkan perkembangan positif apabila mencatat peningkatan dalam Indeks Persepsi Rasuah 2025 dengan skor 52 daripada 100 serta berada di tangga ke-54 dunia, sekali gus menduduki tempat ketiga terbaik dalam ASEAN selepas Singapura dan Brunei.
Namun pencapaian itu tidak boleh dianggap sebagai penamat perjuangan. Kedudukan dalam sesuatu indeks hanyalah petunjuk, bukannya ukuran mutlak terhadap kekuatan budaya integriti. Yang lebih penting ialah tahap kepercayaan rakyat terhadap institusi, sistem pentadbiran dan pemimpin negara.
Satu lagi pengajaran penting daripada dialog tersebut ialah keruntuhan integriti hampir tidak pernah berlaku secara mendadak. Sebaliknya, ia lazimnya bermula daripada kompromi yang dianggap kecil.
Ini termasuk menggunakan kemudahan pejabat untuk urusan peribadi, memanipulasi tuntutan, menutup kesilapan atau membiarkan konflik kepentingan tanpa teguran mungkin kelihatan remeh.
Namun apabila perbuatan seperti ini berulang dan diterima sebagai kebiasaan, masyarakat akan semakin hilang kepekaan terhadap sempadan antara benar dengan salah.
Rasuah berskala besar juga tidak muncul secara tiba-tiba. Ia sering bermula daripada tindakan kecil yang dibiarkan tanpa tindakan sehingga akhirnya menjadi budaya. Atas sebab itu, integriti perlu difahami sebagai satu cara hidup, bukannya sekadar pematuhan terhadap undang-undang.
Peraturan hanya menetapkan had minimum, manakala integriti menuntut seseorang bertindak dengan betul walaupun tiada peruntukan khusus yang memaksanya berbuat demikian.
Perbincangan turut menekankan tadbir urus yang baik tidak hanya bergantung kepada sistem. Ini kerana organisasi boleh memiliki prosedur lengkap, mekanisme audit yang ketat serta teknologi pemantauan yang canggih, namun semua itu masih boleh dimanipulasi jika pelaksanaanya tidak berpegang kepada nilai amanah.
Ungkapan tadbir urus yang baik bermula dengan sahsiah yang baik menggambarkan hakikat tersebut. Sistem yang kukuh memerlukan manusia yang berprinsip. Individu yang mempunyai karakter baik akan sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan sistem agar kuasa tidak mudah disalahgunakan.
Justeru, kegagalan tadbir urus bukan semata-mata berpunca daripada kekurangan peraturan tetapi sering berlaku kerana manusia mencari ruang untuk memintas peraturan yang sedia ada.
Dalam membicarakan aspek keadilan pula, forum membezakan antara konsep kesamarataan dengan keadilan. Memberikan layanan yang sama kepada semua pihak tidak semestinya menghasilkan keputusan yang adil. Sebaliknya, keadilan menuntut setiap keputusan dibuat berdasarkan keperluan, hak serta keadaan sebenar individu tanpa dipengaruhi kepentingan tersembunyi.
Namun, prinsip keadilan juga tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan pilih kasih, kronisme atau layanan istimewa. Di sinilah integriti berperanan memastikan setiap keputusan mempunyai justifikasi yang jelas, telus dan boleh dipertanggungjawabkan. Tanpa ketelusan, alasan kononnya demi keadilan mudah dimanipulasi bagi melindungi kepentingan tertentu.
CABARAN AI
Forum turut menyentuh cabaran baharu dalam era AI. Teknologi ini membuka ruang besar kepada inovasi, meningkatkan produktiviti dan mempercepat penyampaian perkhidmatan. Namun pada masa sama, AI juga mampu menghasilkan kandungan palsu, imej manipulatif, deepfake serta pelbagai bentuk penipuan digital yang sukar dikenal pasti.
Malaysia memperkenalkan Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI Negara sebagai panduan penggunaan teknologi itu secara bertanggungjawab. Walau bagaimanapun, dokumen semata-mata tidak mencukupi sekiranya pengguna tidak memiliki disiplin intelektual dan kompas moral. AI mampu menghasilkan jawapan dalam beberapa saat tetapi manusia tetap bertanggungjawab menentukan sama ada maklumat tersebut benar, beretika dan sesuai digunakan.
Oleh itu, literasi AI perlu melangkaui kemahiran menggunakan teknologi. Masyarakat juga perlu membiasakan diri menyemak sumber, melindungi data, mengelakkan plagiarisme serta mengenal pasti bias sebelum menerima atau menyebarkan sesuatu kandungan.
Dalam masa sama, pendidikan integriti tidak boleh bermula apabila seseorang memasuki alam pekerjaan. Nilai tersebut perlu dipupuk sejak usia muda kerana pembentukan karakter berlaku jauh lebih awal.
Keluarga menjadi sekolah pertama yang mengajar kejujuran dan tanggungjawab, manakala sekolah membentuk disiplin serta penghormatan terhadap peraturan. Universiti pula mengasah pemikiran kritis, sementara alam pekerjaan memperkukuh profesionalisme dan akauntabiliti.
Anak-anak tidak belajar melalui nasihat semata-matatetapi melalui contoh yang mereka lihat setiap hari. Jika masyarakat mengagungkan kekayaan tanpa mempersoalkan sumbernya atau mempertahankan salah laku atas dasar kesetiaan kelompok, maka segala pendidikan tentang integriti akan kehilangan makna.
Hakikat ini turut berkait dengan budaya maklumat yang semakin berkembang. Masyarakat hari ini tidak pernah kekurangan maklumat tetapi lambakan maklumat tidak semestinya melahirkan masyarakat berilmu.
Media sosial membolehkan sesuatu dakwaan tersebar dalam beberapa saat, manakala kandungan yang membangkitkan emosi lazimnya bergerak lebih pantas daripada fakta.
Oleh itu, masyarakat perlu beralih daripada budaya mengejar maklumat kepada membina ilmu. Maklumat hanya menyampaikan fakta, ilmu membantu memahami konteks, manakala kebijaksanaan membimbing seseorang membuat pertimbangan yang tepat. Tanpa pemikiran kritis, kebebasan bersuara boleh berubah menjadi ruang penyebaran fitnah, propaganda dan maklumat tidak sahih.
Dalam organisasi pula, integriti tidak boleh dibina melalui slogan, poster atau ikrar semata-mata. Nilai tersebut hanya akan berkembang apabila pemimpin menunjukkan teladan yang konsisten.
Pemimpin yang mengamalkan ketelusan, mengakui kesilapan dan bertindak adil akan membentuk budaya kerja yang sihat. Sebaliknya, sikap pilih kasih atau kegagalan mengambil tindakan terhadap salah laku akan menghakis kepercayaan warga organisasi.
Budaya sesebuah institusi sebenarnya dibentuk oleh perkara yang diberikan ganjaran, dibiarkan atau dilindungi oleh kepimpinannya. Atas sebab itu, kepimpinan berintegriti menjadi asas kepada organisasi yang dipercayai, manakala organisasi yang dipercayai pula mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
Dalam konteks tersebut, MCW turut menegaskan perjuangan membanteras rasuah tidak boleh bersifat reaktif semata-mata. Organisasi masyarakat sivil perlu memainkan peranan lebih besar melalui pendidikan, penyelidikan, advokasi serta pembangunan kapasiti masyarakat. Pencegahan sentiasa lebih berkesan daripada tindakan selepas kesalahan berlaku.
Usaha membudayakan integriti juga memerlukan kerjasama semua pihak. Tanggungjawab ini tidak boleh dipikul oleh agensi penguat kuasa sahaja. Kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan, media, pertubuhan masyarakat sivil, keluarga dan setiap individu mempunyai peranan masing-masing dalam membina budaya amanah.
Akhirnya, mesej paling penting daripada dialog ini ialah pembinaan negara sentiasa bermula dengan pembinaan manusia. Perjuangan menolak rasuah sebenarnya bermula apabila ibu bapa mengajar anak bercakap benar, pelajar enggan menipu dalam peperiksaan, guru berlaku adil, penjawat awam mengutamakan amanah, pemimpin mengakui kesilapan dan setiap pengguna media sosial menyemak kesahihan maklumat sebelum menekan butang ‘kongsi’.
Sesebuah negara tidak menjadi hebat hanya kerana memiliki ekonomi yang kukuh, bangunan pencakar langit atau teknologi yang canggih tetapi apabila rakyatnya berpegang kepada nilai, institusinya diyakini dan pemimpinnya memimpin melalui teladan.
Masyarakat berintegriti bukan sekadar cita-cita tetapi matlamat yang hanya mampu dicapai melalui usaha berterusan membentuk insan berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab. Perubahan itu tidak bermula di dewan persidangan atau di pejabat kerajaan, sebaliknya dalam diri setiap daripada kita.-UTUSAN
DR. Rozaidi Abdul Rahim Razali ialah Timbalan Presiden 1, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).
The post Membina negara bermula dengan integriti appeared first on Utusan Malaysia.
