
Pilihan raya kampus yang diadakan saban tahun mencerminkan komitmen membentuk kepimpinan politik yang matang dalam kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT).
Mahasiswa adalah aset penting kepada Universiti Awam (UA) dalam sesebuah negara.
Sebagai sebuah negara yang mempunyai sejarah perjuangan kebangsaan, semangat patriotisme dan cintakan tanah air serta kesetiaan kepada negara serta Raja
Berperlembagaan menjadi teras penting. Semangat tersebut wajar ditanamkan dalam jiwa setiap warganegara Malaysia.
Semangat patriotisme ini pula perlu digandingkan dengan kekuatan jati diri kebangsaan Malaysia. Tujuannya adalah untuk melahirkan warganegara yang mencintai negara dan bersama-sama membina negara bangsa Malaysia yang kukuh serta bersatu-padu.
Hal yang demikian selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Pilihan raya merupakan salah satu ciri penting dalam sistem demokrasi berparlimen.
Melalui pilihan raya, rakyat berpeluang untuk memilih perwakilan dan menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan.
Sejarah penglibatan mahasiswa dalam politik dikesan sejak dari zaman kolonial lagi.
Agenda gerakan mahasiswa ketika itu adalah menuntut perubahan untuk membentuk negara yang lebih baik.
Setelah negara mencapai kemerdekaan, gerakan mahasiswa lebih tertumpu kepada isu dalam kampus dan kebajikan pelajar.
Bagi meningkatkan kesedaran berpolitik dalam kalangan mahasiswa di peringkat universiti, pilihan raya turut dijalankan di peringkat universiti yang dikenali sebagai pilihan raya kampus (PRK).
Tujuan PRK diadakan adalah untuk memilih Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). MPP tersebut merupakan badan perwakilan rasmi mahasiswa di universiti berkenaan.
PRK merupakan mekanisme penting dalam usaha melatih mahasiswa menjadi pemimpin yang bertanggungjawab dan berwibawa.
Ia menyediakan ruang kepada pelajar untuk menyuarakan pendapat, membentuk dasar dan menyumbang kepada proses membuat keputusan secara demokratik dalam sesebuah universiti. Pemilihan MPP lazimnya melalui beberapa peringkat sebelum hari pengundian.
Proses ini bermula dengan pengumuman jadual pilihan raya meliputi tarikh penamaan calon, kempen, pengundian dan pengumuman keputusan.

Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan proses pilihan raya secara telus dan berintegriti. Antaranya ialah memastikan pematuhan peraturan dan mengendalikan urusan pengundian.
Calon yang memenuhi syarat kelayakan dan mematuhi prosedur universiti boleh mengemukakan pencalonan dengan menyerahkan dokumen yang diperlukan.
Kempen pilihan raya menjadi ruang penting bagi calon membentangkan manifesto dan komitmen mereka sekiranya dipilih sebagai MPP.
Di peringkat universiti, pemimpin yang akan dipilih adalah dalam kalangan mereka yang bukan sekadar dapat memperjuangkan suara mahasiswa, malahan menjadi penghubung antara pihak pengurusan universiti dengan pelajar. Ini bertepatan dengan nukilan John C. Maxwell iaitu ‘True leadership must be for the benefit of the followers, not to enrich the leaders.’
Seiring dengan perkembangan semasa, pelaksanaan sistem pengundian secara elektronik atau sistem e-undi diperkenalkan di beberapa UA.
Inisiatif tersebut turut menggambarkan komitmen IPT dalam menyesuaikan sistem pemilihan pelajar dengan kemajuan teknologi semasa.
Persepsi segelintir mahasiswa yang menyatakan bahawa tugas mereka di universiti adalah sekadar menimba ilmu pengetahuan sahaja perlu dikikis. IPT adalah medan realiti dalam membina bakat dan keterampilan.
Mahasiswa yang berketerampilan bukanlah mereka yang menghabiskan masa seharian dengan menimba ilmu pengetahuan sahaja. Seharusnya ruang dan peluang digunakan bagi menyertai kelab dan aktiviti yang dianjurkan oleh pihak kolej atau universiti.
Kurangnya penglibatan mahasiswa dalam PRK mungkin berpunca daripada ceteknya kefahaman tentang pilihan raya tersebut.
Media baharu perlu berfungsi sebagai ruang demokrasi maklumat dan perlu dimanfaatkan secara efisien.
Mahasiswa seharusnya menggunakan peluang yang tersedia di alam pengajian tinggi untuk menghayati pengertian demokrasi. PRK juga adalah medan untuk mengasah bakat kepimpinan dan kesukarelawanan sebelum bergelar graduan.
Penglibatan mahasiswa sekurang-kurangnya adalah cerminan kesedaran mereka mengenai hak dan tanggungjawab mereka sebagai warga kampus.
Sudah sampai masanya mereka memperlihatkan sifat yang bertanggungjawab, amanah, berani memperjuangkan hak dan berani bersuara.
Justeru, PRK adalah saluran penting kepada mahasiswa kerana di dalamnya terkandung elemen demokrasi.
PRK bukan sekadar medan untuk mendapatkan jawatan sebagai MPP. Sikap tidak bertanggungjawab akan membawa kepada kurangnya kesedaran untuk keluar mengundi.
Calon yang bertanding dalam PRK sama ada menang atau kalah seharusnya diberikan penghargaan. Ini kerana mereka sanggup mengorbankan masa dan tenaga demi kepentingan mahasiswa lain.
Hasrat mereka dalam memperjuangkan hak dan suara mahasiswa lain adalah sama walaupun pendekatan mereka berbeza. Ini kerana MPP sentiasa berganding bahu membantu pihak pengurusan universiti membangunkan sahsiah mahasiswa dari pelbagai aspek terutamanya melalui penglibatan dalam aktiviti yang dianjurkan oleh pihak universiti.
Para ahli akademik juga boleh meningkatkan kesedaran mahasiswa mengenai kepentingan PRK ketika mengendalikan kursus teras seperti Kenegaraan Malaysia.
PRK merupakan pendidikan politik yang mampu memberikan pengalaman dan pengetahuan kepada mahasiswa terhadap politik, demokrasi dan proses yang melibatkan individu lain melalui pengundian.
Perlu diingat bahawa hasrat yang dibawa bukan sekadar suara pengundi, namun suara mahasiswa yang pastinya mahukan perubahan, pembangunan, kebajikan dan hak mahasiswa.
Bagi seorang mahasiswa yang rasional, pasti mereka akan memilih kepimpinan yang mampu memperjuangkan idea dan menjalinkan hubungan yang baik dengan pihak pengurusan UA. Kepentingan mahasiswa perlu diletakkan di hadapan daripada kepentingan diri sendiri.
The post Membina politik matang bermula di kampus appeared first on Kosmo Online.





