
DALAM sistem demokrasi, kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bukan penamat perjuangan, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar. Mandat rakyat perlu diterjemahkan melalui pentadbiran yang berintegriti, telus, berhemah dan sentiasa mengutamakan kepentingan masyarakat.
Harapan masyarakat tertumpu kepada pelaksanaan janji yang mampu meningkatkan kesejahteraan penduduk serta memacu kemajuan daerah.
Sebagai anak jati Kota Tinggi, saya terpanggil berkongsi pandangan tentang potensi besar yang dimiliki daerah ini. Kota Tinggi mempunyai segala ramuan untuk muncul sebagai sebuah bandar yang lebih maju, berdaya saing dan menjadi kebanggaan Johor.
Apa yang diperlukan ialah perancangan yang tersusun, pelaksanaan yang berkesan serta kerjasama semua pihak.
Daerah ini turut dikurniakan khazanah alam yang bernilai. Sungai Kota Tinggi, Air Terjun Kota Tinggi, kawasan hutan, pantai serta perkampungan tradisional merupakan aset yang boleh diperkasakan sebagai produk ekopelancongan.
Dengan penambahbaikan kemudahan, penyelenggaraan yang konsisten dan promosi lebih agresif, tarikan ini berpotensi merancakkan ekonomi setempat serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk.
Selain alam semula jadi, Kota Tinggi juga kaya dengan warisan sejarah Kesultanan Johor. Lokasi seperti Johor Lama, Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Makam Laksamana Bentan dan Makam Bendahara mempunyai nilai sejarah yang tinggi.
Namun, usaha memperkenalkan warisan ini kepada masyarakat masih boleh dipertingkatkan melalui penyediaan papan tanda yang lebih jelas, kemudahan akses yang lebih baik, pusat informasi serta bahan interpretasi yang menarik agar pengunjung lebih menghargai sejarah negeri ini.
Dalam aspek pembangunan bandar, beberapa bangunan lama yang pernah menjadi mercu tanda kini kelihatan kurang dimanfaatkan. Antaranya Hotel Apollo, Plaza Gedung Kota Tinggi, bekas Kedai Perabot Soon Huat, bangunan Lubok Kota dan beberapa premis di Batu Empat.
Bangunan tersebut wajar diberi nafas baharu melalui projek pemulihan yang sesuai agar dapat menghidupkan semula aktiviti ekonomi, kebudayaan dan pelancongan, sekali gus mencantikkan imej bandar.
Satu lagi cabaran yang memerlukan perhatian ialah peluang pekerjaan. Ramai anak Kota Tinggi berhijrah ke Johor Bahru, Pasir Gudang atau Singapura kerana prospek kerjaya yang lebih baik.
Jika keadaan ini berterusan, daerah akan kehilangan tenaga kerja berkemahiran yang menjadi pemacu pembangunan pada masa depan. Oleh itu, usaha menarik pelaburan yang bersesuaian dengan kekuatan tempatan perlu dipergiat supaya lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan.
Pembangunan sesebuah daerah tidak hanya diukur melalui pembinaan bangunan atau jaringan jalan raya. Kejayaan sebenar bergantung kepada keupayaan memperkasa rakyat, meningkatkan kualiti pendidikan, membangunkan modal insan dan mewujudkan peluang kepada generasi muda untuk membina kehidupan di tempat kelahiran mereka.
Sebagai seorang pendidik, saya percaya pembangunan fizikal perlu bergerak seiring dengan pengukuhan ilmu, nilai murni dan jati diri masyarakat.
Membangunkan Kota Tinggi bukan tanggungjawab pemimpin semata-mata. Kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat dan anak-anak Kota Tinggi perlu berganding bahu merealisasikan potensi daerah ini.
Kota Tinggi sudah memiliki sejarah gemilang, khazanah alam yang indah dan kedudukan strategik. Kini, cabarannya ialah memanfaatkan semua kelebihan tersebut secara menyeluruh demi menjadikan Kota Tinggi sebuah daerah yang lebih maju, berdaya saing dan membanggakan. –UTUSAN
SAMIHA MOHD. SALLEH
Kota Tinggi, Johor
The post Memperkasa potensi Kota Tinggi appeared first on Utusan Malaysia.

