Menang bekerjasama dengan Alpro bangunkan taman kesihatan dan kesejahteraan di Seremban
herman
15/05/2024 - 14:51
KUALA LUMPUR 15 Mei - Menang Corporation Bhd meneroka kerjasama dengan syarikat farmasi, Alpro Alliance Sdn Bhd untuk membangunkan taman kesihatan dan kesejahteraan di Menang Park, Seremban 3.
Kumpulan itu berkata, tanah yang akan dibangunkan secara bersama-sama untuk pembinaan taman kesihatan itu berkeluasan 25.8 ekar (10.4 hektar) atau mana-mana keluasan yang diingini secara komersial di atasnya.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Menang Corp berkata, Alpro akan menyokong kemudahan pembangunan termasuk pusat kesuburan, pusat bersalin dan berpantang, pusat jagaan selepas bersalin, pusat penjagaan ambulatori dan pusat kediaman warga emas dan kemudahan pemulihan.
Alpro juga akan bertanggungjawab untuk memasukkan kemudahan riadah, denai pengembaraan dan flora dan fauna dalam pembangunan Menang Park@S3 Land itu.
Menurut Menang, kerjasama yang dicadangkan itu adalah sebahagian daripada pengembangan strategik syarikat ke dalam industri penjagaan kesihatan, bertujuan untuk mempelbagaikan aktiviti perniagaannya.

"Alpro adalah sebuah syarikat sendirian berhad yang diperbadankan di Malaysia dan aktiviti perniagaannya melibatkan perdagangan produk farmaseutikal dan penjualan beras kesihatan secara runcit," katanya yang memaklumkan memorandum persefahaman tersebut berkuat kuasa untuk tempoh dua tahun.
Kata Menang, kedua-dua pihak boleh memanjangkan kuat kuasa MoU untuk tempoh yang lebih lama atas persetujuan bersama.
"Kedua-dua pihak dilarang daripada membentuk persetujuan usahasama yang serupa dengan mana-mana pihak lain di dalam Malaysia dan harus tetap sepenuhnya komited untuk melaksanakan MoU ini," katanya.- DagangNews.com

